Bahaya-Bahaya Syirik

Bahaya-Bahaya Syirik

Syirik bermaksud menyamakan sesuatu setara dengan Allah swt dari segala sudut. Orang-orang yang mensyirikkan Allah swt dinamakan sebagai orang-orang Musyrik. Telah berulang-ulang kali Allah swt menjelaskan didalam Al Quran tentang bahaya syirik, bahawa syirik itu menyebabkan si pelakunya akan dicampakkan ke dalam neraka walau sebanyak mana pun amalan baik yang ia lakukan semasa hidup didunia dahulu. Tidak seperti dosa-dosa besar yang lain, dosa melakukan syirik ini tidak akan diampunkan Allah swt, ‘sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa jika Dia dipersekutukan dengan yang lain dan Dia mengampuni dosa yang kurang dari syirik itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barangsiapa yang mensyirikkan Allah maka sesungguhnya ia telah berbuat dosa besar [an Nisa:48]’.

Syirik adalah suatu perkerjaan yang buruk pada pandangan Allah swt dan tidak disukaiNya sehingga diumpamakanNya sebagai serendah najis, ‘sesungguhnya orang-orang musyrik itu adalah najis [at Taubah:28]’. Diketahui umum, tahi tergolong dalam golongan najis iaitu najis pada tingkatan mutawasitah, ia adalah bahan kumuh dan bahan buangan yang tidak diperlukan oleh tubuh malah keluarnya dari tempat yang rendah. Tiada siapa pun yang mahukannya walaupun diberi secara percuma kerana baunya tidak menyenangkan dan rupanya menjijikkan. Ianya dihukumkan sebagai najis dalam hukum syara’ maka dengan itu ia tidak boleh berada ditempat ibadah. Jika ia dimasukkan ke dalam makanan pasti tiada siapa yang mahu memakan makanan tersebut walau sesedap manapun makanan itu. Makanan yang dimasuki tahi akan dibuang begitu sahaja lantaran kekejian dan kehinaannya. Begitulah perumpamaan syirik yang disamakan dengan najis oleh Allah swt iaitu akibat tahi, makanan yang paling enak pun pasti tidak bernilai disisi manusia malah akan dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah.

Begitu jugalah dengan setiap amalan baik yang dilakukan oleh manusia akan menjadi sia-sia jika ada berserta amalan itu syirik kepada Allah swt. Allah swt tidak akan memandang dan menerima amalan-amalan baik setiap hambaNya yang terdapat syirik didalamnya dan menjadi sia-sialah setiap amalan-amalan baik yang dilakukan manusia walaupun amalan itu seberat bumi dan seluas langit sekalipun, ‘dan jika mereka mempersekutukan Allah, rosak binasalah segala amalan yang sudah mereka kerjakan [al An’am:88]’. Lantaran itu, tempat yang selayaknya bagi sipelaku syirik ini adalah didalam neraka, ‘barangsiapa yang mensyirikkan Allah, akan Allah haramkan baginya syurga dan akan dicampakkanNya ke dalam api neraka [al Maidah:72]’.

Sebenarnya, amaran tentang bahaya kesyirikan ini telah disampaikan Allah swt kepada manusia sejak dahulu lagi melalui Rasul-rasulNya sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw lagi, namun kebanyakkan dari umat terdahulu tidak mengendahkannya, ‘dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada kamu dan orang-orang sebelum kamu bahawa, jika kamu mempersekutukan Allah nescaya akan terhapus seluruh amalan kebaikkan kamu dan kamu termasuk orang-orang yang rugi [az Zumar:65]’. Rasul-rasul yang diturunkan sejak dahulu hinggalah kepada Nabi Muhammad saw, mereka semuanya membawa dan menyeru kepada seluruh umat manusia dengan seruan yang sama iaitu menyeru kepada mentauhidkan Allah swt dengan kalimah Laa ilaaha illallaah. Inilah satu-satunya kalimah keramat yang dapat membebaskan setiap manusia daripada bahaya syirik yang boleh menyebabkan seseorang itu dicampakkan ke dalam api neraka.

Maka dengan ini marilah kita sama-sama mengenal bahagian syirik-syirik ini berserta mengetahui bagaimanakah cara-cara untuk menggugurkannya. Adapun syirik itu terbahagi kepada 3 bahagian iaitu;

  1. Syirik Jali
  2. Syirik Khofi
  3. Syirik Khofiul khofi

S y i r i k   J a l i

Syirik Jali atau dalam istilah bahasa Melayunya adalah Syirik Nyata bermaksud suatu iktiqad yang menyamakan sesuatu atau diri sendiri setara dengan  kedudukan Allah swt sebagai Tuhan yang wajib disembah, wajib ditaati dan wajib dijadikan sebagai sandaran tempat pergantungan bagi segala hajat keperluan yang mana iktiqad ini dizahirkan secara terang-terangan tanpa berselindung melalui tingkah-laku perbuatan dan ucapan.

Syirik ini berlaku akibat dari kejahilan orang-orang yang cetek pengetahuan agama dan lagi langsung tidak mahu memperdalami ilmu-ilmu agama yang berkait tentang aqidah. Kebanyakkan yang menghidapi penyakit syirik jenis ini ialah orang-orang yang pengetahuan agamanya tentang Tuhan adalah rendah. Mereka mengetahui Allah adalah Tuhan namun dalam masa yang sama mereka sanggup mentaati atau memperhambakan diri kepada selain Allah demi memenuhi keperluan nafsu.

Mereka berpendapat bahawa kubur-kubur keramat, pokok-pokok besar, batu-batu tertentu dan orang-orang keramat ada mempunyai kuasa tertentu, oleh sebab itulah mereka berusaha menjaganya semata-mata untuk mendapat manfaat darinya. Kerana itu ada yang sanggup memuja kubur dan pokok-pokok yang besar dengan membuat pelbagai cara ritual yang menyalahi hukum syara’ guna untuk diperkenankan sekelian hajat. Tidak kurang juga ada yang rela menjadi hamba suruhan individu-individu tertentu yang didakwanya sebagai manusia keramat hingga sanggup menyerahkan apa sahaja kepadanya demi mendapat barakah kononnya. Tidak kurang juga ada yang mempercayai bahawa sekelian bomoh, pawang dan dukun mempunyai kekuasaan ghaib dan kemampuan tertentu untuk membuang segala jenis penyakit lantas meletakkan pergantungan harap hanya kepada mereka dalam bab penyembuhan. Semua ini adalah perlakuan syirik secara nyata yang terkutuk disisi Allah swt.

Perlu diingat, apabila perkara-perkara syirik Jali ini dilakukan oleh manusia yang mengaku sebagai muslim maka pada ketika itu gugurlah syahadah mereka. Gugur syahadah bermakna kafirlah mereka ketika itu. Cara untuk menyucikan najis syirik yang telah mengotori akal fikiran manusia-manusia jahil ini adalah dengan kembali membersihkannya dengan mengucapkan kalimah syahadatain iaitu kalimah Laa ilaaha illalLaah MuhammadarRasulullaah dengan betul-betul memahami maksud tujuan sebenar ucapan kalimah tersebut.

Mengucapkan kalimah syahadatain tanpa memahami maksudnya samalah seperti burung kakak tua yang tahu menyebut perkataan tertentu tetapi ia sendiri tidak memahaminya. Sepatutnya kalimah syahadatain itu berfungsi sebagai penetap dan pemantap aqidah sipengucapnya sehingga kebergantungannya hanya semata-mata kepada Allah namun realitinya hari ini tidak begitu kerana sipengucap berasa telah cukup menjadi muslim yang sempurna apabila kalimah itu diucapkannya sekali lalu sahaja. Ini adalah pendapat yang jahil.

Jalan yang sebetulnya ialah wajib mengetahui sekelian juzuk-juzuk dan furu’-furu’ aqidah yang terkandung didalam kalimah Tauhid dan kalimah Rasul walaupun pengetahuan itu hanya sekadar secara ijmali sahaja yakni mengetahui 20 sifat wajib dan mustahil berserta 1 sifat yang harus bagi Allah dan 4 sifat wajib dan mustahil berserta 1 sifat yang harus bagi Rasul yang wajib diketahui. Jika secara tafsili sekelian juzuk dan furu’nya berjumlah 68 aqoidul iman kesemuanya. Inilah yang terkandung didalam pelajaran ilmu Ushuluddin dari aliran Asy’ariyah yakni aqidah Ahlussunnah wal Jamaah.

S y i r i k   K h o f i

 

Syirik Khofi atau dalam istilah bahasa Melayunya adalah Syirik Halus bermaksud suatu iktiqad yang menyamakan ataupun memandang diri mempunyai sifat-sifat yang setara dengan sifat-sifat keTuhanan Allah swt yang mana iktiqad ini menyebabkan seseorang itu berasa cukup dengan hanya bergantungan kepada dirinya sendiri dan melakukan sesuatu demi kepentingan dirinya sendiri.

Syirik jenis ini boleh menghinggapi sesiapa sahaja, tidak kira orang yang cetek ilmu agamanya mahupun terhadap orang yang tinggi ilmu agamanya. Ianya adalah sejenis penyakit hati yang serius dan dengannya mengakibatkan para pengidapnya terjauh dari rahmat Allah dan yang lebih buruk lagi mengakibatkan gugurnya syahadah. Penyakit hati yang dimaksudkan ini ialah hatinya dihinggapi virus nafsu Mazmumah yakni sombong, angkuh, riya’, sum’ah, takabbur, khianat, ujub, dengki, tamak, bakhil, zalim dan sebagainya.

Golongan ini walaupun beragama Islam tetapi mereka telah lupa kepada Allah dan ajaran Rasul sehingga Islam hanya sebagai tidak lebih daripada susunan perkataan penghias dipermukaan Mykad. Golongan ini walau membaca Al Quran namun gagal menghayati maksudnya dengan baik dan walau bersolat namun solatnya sambil leka. Pada mereka ibadat samalah hukumnya seperti melaksanakan adat, oleh kerana itulah meninggalkan ibadat telah menjadi kebiasaan adat bagi mereka. Akal mereka telah dihijab dengan kemewahan yang dihidangkan saban hari dihadapan mata mereka semenjak kecil lagi dan mereka diperkenalkan kepada dunia melebihi pengenalan terhadap akhirat. Apabila akal mereka terhijab dan hijab itu hanya menampakkan keindahan dunia maka nafsu Mazmumah mulailah menguasai hati mereka sehinggakan bagi mereka dunia ini adalah lebih baik dari segala-galanya.

Mulailah mereka bercita-cita untuk mendapatkan dunia sehingga sanggup menjatuhkan orang lain akibat dengki dan tamak yang bersarang dihati, kemudian setelah impiannya tercapai melalui jalan khianat dan ia telah berada ditempat yang tinggi mulailah ia berasa  sombong serta bersikap riya’ dan angkuh terhadap orang yang lebih bawah daripadnya. Virus Mazmumah terus meracuni hatinya sehingga sanggup menzalimi sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengannya lantas bersikap bakhil sehingga mengenepikan hak-hak orang lain. Ia mula memandang dirinya serba hebat dan sempurna dan sering bersikap sum’ah lantaran keujuban telah bernanah dihatinya. Sekarang dunia berserta kemewahannya telah ada ditangannya dan dialah rajanya namun hatinya masih gelisah kerana dari hari ke hari kawan dan taulannya semakin menjauhkan diri darinya, sahabat mulai menjadi musuh dan keluarga mulai memencilinya. Hidupnya mewah tetapi hatinya gelisah sehingga kadang-kadang terdorong untuk membunuh diri dan tak kurang juga yang berkesudahan menjadi gila.

Perlu diingat, hati dapat dijangkiti oleh sifat Mazmumah adalah dikeranakan tiadanya ketenangan hati. Punca terjadinya dengki adalah kerana hati tidak tenang melihat kesenangan orang lain, terjadinya khianat kerana hati tidak tenang kalau tandingannya masih tidak dapat dikalahkan, terjadinya sombong kerana hati tidak tenang selagi tandingannya tidak direndahkan, terjadinya riya’ kerana hati tidak tenang selagi kemegahan dirinya tidak ditonjolkan, terjadinya angkuh kerana hati tidak tenang selagi tandingannya belum dimalukan, terjadinya zalim kerana hati tidak tenang selagi tiada orang yang mahu tunduk padanya, terjadinya bakhil kerana hati tidak tenang kalau-kalau simpanannya habis, terjadinya sum’ah kerana hatinya tidak tenang kalau hasil usahanya tidak diketahui orang dan terjadinya ujub kerana hatinya tidak tenang kalau tidak membandingkan kelebihan dirinya dengan orang lain.

Ubatnya tiada lain melainkan kembali kepada kitabulLah kerana didalamnya telah Allah adakan jalan-jalan khusus untuk mengubati dan membasminya. Allah berfirman yang bermaksud, ‘ingatlah! hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang [ar-Rad:28]’. Ini janji Allah dan Allah sekali-kali tidak akan mengkhianati janjiNya, ‘sesungguhnya janji Allah itu pasti tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahuinya [Yunus:55].’ Untuk itu perbanyakkanlah berzikir mengingati Allah pada setiap masa dan ketika, guna untuk mendinding hati dan menyembuhi hati dari serangan virus Mazmumah.

Ulama fuqara telah membahagikan zikir itu kepada dua martabat iaitu zikir Hasanah dan zikir Darojah. Zikir Hasanah bermaksud ucapan menyebut nama Allah dan kalimah Tauhid yang jika dilazimkan menyebutnya bakal sekadar mendapat ganjaran pahala sedangkan zikir Darojah adalah ucapan menyebut nama Allah dan kalimah Tauhid yang jika dilazimkan menyebutnya bakal meningkatkan darjat kedudukkan kita disisi Allah dan zikir pada martabat inilah yang dapat mendinding hati dan menyembuhi hati dari serangan virus Mazmumah.

Adapun cara untuk mendapatkan zikir Darojah ini ialah dengan mengambil talqin zikir tersebut dari Mursyid-mursyid aliran tareqat yang muktabar. Apabila penyakit hati (syirik khofi) ini mudaratnya sehingga dapat merosakkan segala amalan dan lebih buruk lagi ianya bisa mengakibatkan gugurnya syahadah maka mencari ubat dan penawarnya adalah wajib. Oleh itu mengambil talqin zikir dan seterusnya menjadi salik kepada mana-mana guru yang Mursyid tidak kira dari apa jenis aliran tareqat yang muktabar pun maka hukumnya adalah fardhu Ain yakni wajib.

S y i r i k   K h o f i u l   K h o f i

 

Syirik Khofiul Khofi atau dalam istilah bahasa Melayunya adalah Syirik Halus Lagi Tersembunyi bermaksud suatu iktiqad yang menyamakan af’al, asma, sifat dan zat selain Allah setara dengan af’al, asma’, sifat dan zat Allah. Maka inilah dia yang dikenali sebagai ibu segala syirik. Ibu segala syirik bermaksud masih memandang diri sebagai ada wujud selain wujud Allah.

Ibu segala syirik ini amat jarang disebut orang bahkan membahaskan tentang bahaya-bahayanya pun nampaknya seperti telah ditinggalkan langsung dizaman ini. Di masjid-masjid dan di surau-surau juga nampaknya tidak ada yang mengungkitnya, mungkin pemakmurnya tiada yang ahli dalam perkara ini. Ketahuilah, letak duduknya pembahasan tentang bahaya-bahaya syirik halus lagi tersembunyi ini dan cara untuk menggugurkannya ialah terkandung didalam pembelajaran ilmu-ilmu Tasawuf. Memang benar ilmu Tasawuf ada diajar di masjid dan di surau namun perlu diingat ianya masih lagi ilmu-ilmu Tasawuf pada peringkat Mubtadi (awam) sedangkan letak duduknya bahasan tentang syirik jenis ini ialah dalam ilmu-ilmu Tasawuf pada tingkatan Muntahi (tinggi). Oleh itu tidak hairanlah ramai orang-orang pada zaman ini yang tidak tahu-menahu langsung tentang syirik khofiul khofi ini kerana ianya tidak diajari di masjid dan di surau bahkan pemerintah dan penguasa agama seolah-olah seperti sengaja menutupinya dari pengetahuan masyarakat umum.

Ibu segala syirik ini berlaku apabila pengetahuan seseorang itu tentang wahdaniyah-nya atau esanya Allah pada af’alNya, asmaNya, sifatNya dan zatNya langsung tiada, oleh kerana ia langsung tidak pernah mempelajarinya. Apabila ini berlaku, syirik khofiul khofi ini boleh sahaja terjadi atas diri seseorang itu dalam keadaan mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka sedang melakukan kesyirikan itu. Syirik jenis ini amat halus sehinggakan tiada siapa pun yang akan menyedarinya jika tiada siapa yang memberitakannya.

Apabila seseorang itu tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mengesakan Allah pada af’alNya maka bila-bila masa sahaja ia akan terjebak kepada mempersekutukan af’alnya dengan af’al Allah. Begitu jugalah dengan asma, sifat dan zat Allah, apabila ia tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mengesakanNya maka menyamakan asmanya, sifatnya dan zatnya dengan asma, sifat dan zat Allah pasti akan berlaku. Sebenarnya perkara syirik khofiul khofi ini bukannya boleh digugurkan dengan hanya mengetahui dan menghafal ilmu-ilmu tentang pengesaan terhadap af’al, asma, sifat dan zat Allah semata-mata sebagaimana yang terdapat didalam ilmu Ushuludin tetapi ianya baru akan dapat digugurkan dengan cara pengamalan.

Contoh ringkas apabila seseorang itu mulai terjebak ke dalam kancah syirik khofiul khofi ini ialah apabila telah menjadi kelaziman iktiqad didalam hatinya lantas menyengajakannya dengan ucapan bahawa apa yang ia miliki sekarang ini tidak kiralah samada ianya berbentuk rumah, kereta, tanah, syarikat dan sebagainya adalah kesemuanya itu miliknya kerana ia memandang kesemua itu datangnya daripada hasil usahanya semata-mata. Inilah namanya syirik halus lagi tersembunyi sebab Allah dengan tegasnya telah berfirman didalam Al Quran yang bermaksud, ‘segala puji bagi Allah selaku pemilik apa-apa yang ada dilangit dan dibumi.. [Sabak:1].’ Adalah menjadi suatu kesyirikan apabila ia mengatakan dengan berserta iqtikad bahawa sekian barang adalah miliknya sedangkan hakikat pemilik bagi sekian barang yang dimilikinya adalah kepunyaan Allah. Apa yang berlaku ialah ia telah mempersekutukan Allah pada sifat al-MalikNya.

Perhatikan baik-baik, berpunca daripada meletakkan pada diri mempunyai sifat al- Malik Allah (syirik khofiul khofi) seperti contoh diatas maka pasti akan menyusul kemudiannya rasa sombong, ujub, sum’ah, dengki, khianat, bakhil dan sebagainya (syirik khofi) pada diri seseorang itu lantas ia mula berasa diri serba cukup dan memandang dirinya serba sempurna serta berasa seronok jika dirinya dipandang mulia lantas ingin segala perintah dan usul darinya ditaati (syirik jali). Kerana itulah syirik khofiul khofi dikenali sebagai ibu segala syirik kerana bermula darinyalah lahirnya syirik khofi dan syirik jali, manakala menggugurkannya bererti tergugurlah sekaligus syirik khofi dan jali.

Cara untuk menggugurkan syirik jenis ini tiada lain melainkan wajib duduk dibawah bimbingan seorang guru yang Mursyid pada satu-satu masa yang akan membimbing saliknya dengan membuka satu-persatu Sir Rububiyyah (rahsia ketuhanan) berkenaan af’al, asma, sifat dan zat Allah sehingga mencapai matlamat ma’rifatullah. Allah berfirman didalam Al Quran yang bermaksud, ‘Ketahuilah! Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah [Muhammad:19].’ Perkataan ‘ketahuilah’ pada ayat tersebut menjadi dalil atas wajibnya memperdalami ilmu-ilmu tentang keesaan Allah. Jadi, apabila ilmu-ilmu tentang esanya Allah telah diketahui lantas ianya diamalkan menurut cara pengamalan yang sepatutnya secara istiqomah maka secara sunatullahNya pasti Allah akan mengurniakan Nur ma’rifah kepada para salik yang mujahidin. Nur ma’rifah itulah yang menjadi matlamat sekelian hamba-hamba Allah kerana dengan Nur ma’rifah itulah Ihsan dapat difahami lantas dilaksanakan dalam setiap ibadah yang dilakukan.

16 Responsesto “Bahaya-Bahaya Syirik”

  1. Redzha says:

    AWALUDIN MAKRIFATULLAH “awal agama mengenal Allah”
    Dah kenal Allah maka beramal, beribadah dan mohonlah ape jua kepada Allah.
    Mana nak dapat Nur kalau tak kenal yang memberi Nur.

  2. hamba says:

    assalamualaikum tuan sarip dol…

    bantu saya utk mencari guru mursyid agar dapat saya belajar jalan utk mengenal allah serta hakikat sebenar hidup ini..saya akui yg saya ni jahil..semakin saya baca penulisan tuan, semakin saya tertarik…saya x tau mana nk mula… sebarang feed bacK tlg email kan ke saya………….PLEASE…………………

  3. pencari kedamaian says:

    @hamba: coba buka http://www.kisah.web.id disana tercantum mursyid yang hidup pada zaman sekarang.

  4. mamat says:

    askum…
    sy nk b’tnya pasal syirik halus lg t’smbunyi…
    1)yg d’katakn memandang diri itu, diri yg mne??
    zahir @ batin..
    blh jls kn…
    :)

  5. sarip dol says:

    wa alaikum salam sdr mamat..

    diri yang zahir, diri yang batin dan diri yang rahsia atau jasad, roh dan nyawa atau diri terdiri, diri terperi dan diri sebenar diri atau adam, muhammad dan Allah.

  6. mamat says:

    byk sgt 2 tuan sarip dol…
    mcm mne nk pandang???
    blh huari kn..
    :)

  7. sarip dol says:

    mana ada banyak? satu je tu.. cuba pandang betul-betul.

  8. mamat says:

    klu dh jd 1, mcm mne nk pndg??

  9. sarip dol says:

    Laaa.. bila saya tulis banyak, sdr kata: “byk sgt 2 tuan sarip dol… mcm mne nk pandang???” tapi bila saya ringkaskan, sdr kata lagi: “klu dh jd 1, mcm mne nk pndg??”

    bagi banyak pun tak tau macam mana nak pandang.. bagi sikit pun still tak tau macam mana nak pandang. sdr pandang apa sebenarnya? sdr nak pandang apa? yang sdr pandang tu apa? apa yang ada dalam pandangan sdr? pandangan sdr bagaimana?

  10. mamat says:

    emmm…
    mgkin sy xth kot ap yg sy tny..
    sowi sgt2 coz tny yg bkn2..
    :)

  11. Serban hitam says:

    salam saudara mamat..

    ap yg saudara tuan sarip dol huraikan agak complicated…
    tp untuk memudahkan fahaman saudara,, kita ringkaskan…

    diri zahir dan diri bathin….
    diri yg kenal allah,,dan yg xkenal allah,,,
    diri yg bersih dan diri yg kotor..

    adapun istilah ‘memandang’ dalam tasauf itu maksudnya hati yang tiada putus dengan allah…
    hati yang mana?- hati yang batin…
    hati yang bathin itu dikenal juga sebagai roh,ataupun nur muhammad/hakikat muhammad atau roh al-qudsi…jd xperlulah saudara pening2 kepala fikir ap pula mksudnya…kerana ianya hanya istilah yang tiada memberi bekas…yg allah ingin adalah hati yg tiada putus denganNya…

    jd,,utk fahaman saudara, hati yang tiada putus dengan allah itu adalah hati yang bersih,untuk mencapai hati yang bersih,perlulah dengan riadah zikir dan disiplin yg telah ditetapkan oleh syeikh masing-masing..

    jadi langkah pertama untuk saudara mamat yg betul2 berminat untuk belajar..carilah mursyid terlebih dahulu…kemudian talqinlah zikir…
    berjalan lah..ikut landasan..ramai yg kecundang kerana tidak ikut landasan…

    selamat berjaya..semoga capai matlamat..
    sesungguhnya allah akan memudahkan jalan kepada hambanya yg ingin menuju kepadaNya.

  12. nizam says:

    Salam Saudara Sarip Dol,

    Mohon maaf, saya cuma ungun berkongsi dgn tuan dan sahabat2 sekelian dari ilmu yg sekelumit ini.

    Pengajaran Ma’rifatullah yang diasakan oleh Tuan Guru Syekh KH. Muhammad Saman Al-Banjari pengamanah mutlak Ilmu Ma’rifatullah Wa Ma’rifaturrasul pengarang kitab “AWALUDDIN” yang lahir di Astambul Martapura Kalimantan Selatan pada tshun 1919 adalah amat bersalahan sekali dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    Buku utamanya mengandungi fakta yang mengelirukan, sbg contoh Ayat al Qur’an Surat Az Zaariyat : 21, diterjemahkan dengan : AKU ADA DALAM KAMU, APAKAH KAMU TIDAK MELIHAT sedangkan maksud asalnya adalah “Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tiada memperhatikan?”

    Sekiranya perkara pokok didalam rukun iman sudah boleh di bolak balik, atas alasan apakah keimanan kita kepada Allah! Melihat ayat diatas begitu mudah sekali di olah untuk mengusai nafsu manusia!

    Mohon penjelasan tuan,

    Tksh,

    nizam, sg.penchala

  13. Sarip Dol says:

    sdr Nizam,

    Saya tak pernah pun baca buku itu dan tak mengimani pun aqidah ‘AKU ADA DALAM KAMU, APAKAH KAMU TIDAK MELIHAT’ jadi rasanya tak layaklah saya nak mewakilkan diri saya untuk memberikan sebarang komentar tentangnya.

  14. Eleena Anuar says:

    salam.
    sy nak tahu apa kesan jika kita tidak aplikasikan tauhid dlm khidupan seharian kita sbgai pelajar?

  15. Sarip Dol says:

    Salam sdr Eleena Anuar…

    Tawhid ni bab aqidah dan ada cara pakainya (mengaplikasikannya dalam kehidupan). Sebelum nak pakai kena ma’rifah dulu dan kalau nak mendapatkan ma’rifah kena mengamalkan ilmunya dulu. Kena tahu ilmunya, kena tahu cara amalnya dan wajib tahu cara pakainya. Semuanya ini kena berguru.

    Tempat nak mendapatkan ilmu Tawhid pula banyak seperti mengikuti kelas pengajian disurau atau masjid yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang bertauliah. Selalunya kalau disurau dan masjid ilmu Tawhid yang diajar samada dari metodologi Asy’ariyah (Sifat20) atau Wahabiyah (Tawhid 3 serangkai).

    Ada juga ilmu Tawhid yang kalau dicari disurau atau masjid pun takkan jumpa. Selalunya ilmu Tawhid jenis ni hanya dapat ditela’ah dirumah guru yang kebanyakkan dari guru-gurunya adalah orang biasa saja dan mengajar tanpa tauliah. Ilmu Tawhid yang disampaikan adalah dari aliran Tasawuf yang bermetologikan cara musyahadah untuk memahami ketawhidan Allah. Oleh kerana ilmu jenis ini tak lagi diajar disurau dan masjid maka hanya sedikit sahaja manusia yang menguasainya ilmu-ilmunya.

    Apapun, ilmu Tawhid ni hukum mempelajarinyanya adalah fardhu Ain maka pilihlah mana-mana metologi dari aliran yang muktabar yang dapat dihadam oleh akal masing-masing kerana masing-masing dari manusia tidak mempunyai mutu akal yang sama.

    Berbalik kepada soalan, sebagai seorang pelajar jika sdr tidak menitik-beratkan soal tawhid pun dalam kehidupan sdr maka sdr akan tetap berjaya dalam akademik jika sdr benar-benar fokus dalam pelajaran namun kesan buruknya amat besar kerana akal (cerdik akademik) sdr akan dipimpin oleh nafsu (yang tak pernah dididik) dalam setiap keputusan yg sdr lakukan.

    Cuba sdr bayangkan apa akan jadi jika sebuah kapal terbang yang telah terbina dengan canggih namun dipandu oleh orang yang tidak mengikut format pemanduan kapal terbang yang betul? Maka begitulah misalnya dengan sdr yang mempunyai akal cerdik akademik tetapi dipandu oleh nafsu yang tidak mengikut format agama Islam yang betul.. kemusnahan pasti berlaku.

    wallau’alam.

  16. nawawi says:

    Apa itu makrifat?

Leave a Reply

*