Perkara Yang Semakin Dilupai

Perkara Yang Semakin Dilupai

Sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat Islam awam khususnya masyarakat Melayu mengamalkan sesuatu ibadah, baik yang wajib ataupun ibadah yang sunat hanya semata-mata untuk mendapatkan ganjaran pahala yang banyak lagi berlipat-kali ganda sebagai syarat untuk masuk ke syurga. Inilah matlamat kebanyakkan orang-orang awam yang mengerjakan sekelian banyak ibadah bertujuan untuk mengumpul-ngumpul pahala. Bagi mereka, hanya ukuran jumlah pahala yang banyaklah yang akan memberati neraca Mizan lantas kerana itu layaklah bagi mereka untuk memasuki syurga.

Didunia ini, mereka bersungguh-sungguh mempelajari ilmu Feqah, guna untuk memperkemaskan lagi pengetahuan hukum Taklifi dan hukum Wadho’i samada di surau-surau atau di masjid-masjid dan tidak kurang juga, ada yang mengupah ustaz dan ustazah supaya mengajar ilmu-ilmu Feqah di rumah masing-masing secara peribadi. Maka dengan itu lahirlah individu-individu yang lahiriahnya banyak mengerjakan amalan-amalan baik seperti berpakaian mengikut sunnah dengan berserban atau bertudung labuh, memakai jubah putih atau berjilbab, mengenakan wangi-wangian, sentiasa beriktiqaf di surau atau di masjid, berpuasa sunat, membaca Al Quran dan mendirikan solat dengan sempurna syaratnya, sempurna rukunnya, sempurna sunat hai’ahnya dan sempurna sunat ab’adznya. Mereka-mereka ini jika berdakwah, maka mereka berdakwah dengan hukum dan jika melarang, juga dengan hukum. Akhlak mereka baik, tutur percakapan mereka juga baik, sentiasa suka menolong, tidak kedekut dan banyak lagi sifat-sifat baik lagi terpuji yang menghiasi kehidupan mereka.

Tapi sayangnya, segala akhlak baik yang mereka tonjolkan dan segala ibadah wajib dan ibadah sunat yang mereka dirikan adalah berpunca dari kemahuan semata-mata untuk mengumpul jumlah pahala yang banyak kerana pada mereka kayu pengukur bagi seseorang itu sebagai layak memasuki syurga adalah dengan jumlah pengumpulan pahala yang banyak yang dapat dikumpulkan didunia ini.

Apakah mereka lupa pada firman-firman Allah swt yang sering mereka baca pagi dan petang? Tidakkah mereka pernah menemui firman Allah swt pada surah az-Zukhruf ayat yang ke 32 yang bermaksud, ‘dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan’. Untuk firman Allah swt ini, Rasulullah saw pernah menghuraikannya dalam suatu hadis yang bermaksud, ‘dari Jabir ra katanya, dia mendengar Nabi saw bersabda, Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi semata-mata rahmat Allah swt belaka [Sahih Muslim]’. Jelas, sebab yang membolehkan seseorang itu untuk memasuki syurga ialah hanya semata-mata rahmat Allah swt sahaja, bukan kerana banyaknya amalan-amalan baik yang dilakukan sehingga banyaknya pahala-pahala yang dapat dihimpunkan. Malah, sekelian banyak himpunan pahala yang seseorang itu kumpulkan akan kelak menjadi sia-sia jika berhadapan dengan kemurkaan Allah swt. Justeru itu, hendaklah bagi orang-orang yang berakal sentiasa menyibukkan diri mereka untuk mencari rahmat Allah swt berbanding terus tenggelam dalam usaha menimbun-nimbunkan pahala.

Bagi sesiapa yang ingin mencari rahmat Allah swt, disana telah disediakan oleh Allah swt jalan-jalannya iaitu sebagaimana firmanNya dalam surah Ali Imran pada ayat 132 yang bermaksud, ‘taatilah Allah dan Rasul supaya kamu diberi rahmat’. Untuk mendapat rahmat Allah swt, mentaati Allah swt melulu dengan memisahkan ketaatan kepada Rasul adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal kerana hanya melalui Rasul sahajalah seseorang itu akan dapat mengenal Allah, maka oleh sebab itulah kunci untuk mentaati Allah swt sebenarnya adalah pada mentaati Rasul, sebagaimana firman Allah swt dalam surah Ali ‘Imran ayat 31 yang bermaksud, ‘katakanlah, jika kamu mencintai Allah ikutilah aku (Rasulullah), nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosamu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang’.

Ketahuilah, Rasulullah saw itu membawa syariat yang zahir dan syariat yang batin, maka kedua-dua syariat ini wajib diikuti dan ditaati oleh seluruh umat baginda yang inginkan rahmat daripada Allah dan hanya cara yang ditunjukkan oleh bagindalah yang dapat menjamin rahmat Allah, sebagaimana firman Allah swt dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, ‘sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh tauladan yang baik bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah, hari akhirat dan baginda banyak mengingati Allah.’

Yang dinamakan syariat zahir ialah sekelian pekerjaan ibadah yang dapat disaksikan oleh penglihatan dan pendengaran zahiriyah bersesuai dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dengan tingkah laku dan ucapan baginda samada yang wajib hukumnya ataupun yang sunat lantas diikuti oleh para sahabat yang selepas itu menjadi panduan bagi kita untuk melaksanakannya yang mana menzahirkannya dikenali sebagai Islam, manakala yang dinamakan syariat batin pula ialah sekelian pekerjaan yang tidak dapat disaksikan dengan penglihatan dan pendengaran zahiriyah bersesuai dengan keadaannya yang tersembunyi didalam hati yang dikenali sebagai Iman dan Ihsan kerana ianya adalah bangsa iktiqad, maka tiada siapa yang dapat mengetahui hal keadaan hati seseorang itu melainkan Allah swt. Maka, Ihsan dan Iman itu sepatutnya dihimpun menjadi esa dan menyatu dalam hati kita sebagai iktiqad yang jazam sehingga Islam dapat dizahirkan dengan sempurna.

Syariat yang zahir itu rata-ratanya seluruh umat Islam pun tahu caranya iaitu mengucap kalimah syahadata’in, mendirikan solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji ke Baitullah di Mekah, kemudian mendirikan hukum-hukum Taklifi yang lima iaitu mengetahui pekerjaan mana yang wajib, mana yang haram, mana yang sunat, mana yang makhruh dan mana yang harus berserta menuruti peraturan rukun-rukun, syarat sah dan perkara yang membatalkan setiap ibadah.

Adapun syariat yang batin itu ada dua cabang iaitu Iman dan Ihsan. Oleh kerana pada zaman sekarang, Iman dan Ihsan telah diajar secara berasingan (akibat sistem sekular) maka disini Iman diistilahkan sebagai syariat batin yang bersifat umum manakala Ihsan pula diistilahkan sebagai syariat batin yang bersifat khusus. Umumnya Iman kerana ianya adalah iktiqad yang lahir dari bangsa pengetahuan (Ushuludin) manakala khususnya Ihsan kerana ianya iktiqad yang lahir dari bangsa pengamalan yang terbit setelah ma’rifatullah (Tasawuf). Justeru, memisahkan Ihsan dari Iman adalah perbuatan sekular yang telah diterapkan oleh golongan kufar bagi melemahkan aqoidul iman orang-orang muslim.

Kemudian, syariat batin yang bersifat umum yakni Iman, rata-ratanya semua umat Islam pun sudah maklumi rukunnya iaitu percaya kepada Allah, percaya kepada malaikat, percaya kepada kitab, percaya kepada rasul, percaya kepada hari kiamat dan percaya kepada qada dan qadar. Duduk letak untuk mempelajari keenam-enam rukun Iman ini adalah dalam pembelajaran ilmu Usuludin yang terkandung didalamnya 68 akoidul iman yang wajib diimani.

Seterusnya, syariat batin yang bersifat khusus yakni Ihsan. Amat sedikit sahaja umat Islam  yang tahu mengenainya dizaman ini, malah telah menjadi amat asing dari pengetahuan umum sehinggakan apabila ada yang cuba menjelaskan furuk-furuk dan juzuk-juzuknya, terus sahaja akan dicap sebagai sesat. Duduk letak untuk menguasai perkara Ihsan ini adalah dalam pembelajaran Tasawuf yang terkandung didalamnya cara-cara untuk mencapai tingkatan Takholli, Tahalli dan Tajalli.

Adapun mempelajari dan mendirikan Ihsan ini adalah sama wajibnya dengan mendirikan Islam dan Iman kerana ketiga-tiganya ini adalah termaktub sebagai Rukun Agama dan sekiranya diabaikan Ihsan darinya maka kesempurnaan agama itu tidak akan dapat dicapai. Satu hadis daripada Rasulullah saw tentang peri wajibnya mendirikan Ihsan yang bermaksud, ‘sesungguhnya Allah telah mewajibkan Ihsan atas segala sesuatu pekerjaan.. [Sahih Muslim]’ dan maksud Ihsan itu sebagaimana yang disabda oleh baginda Rasulullah saw ialah, ‘Ihsan itu ialah, menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, walaupun kamu tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihatmu [Sahih Muslim]’.

 

Selanjutnya, mari kita bertanya kepada para ‘pengumpul-pengumpul pahala’ tentang Ihsan, dapatkah mereka melihat Allah dalam setiap pekerjaan ibadah yang mereka laksanakan? Jika dapat, bagaimanakah cara mereka melakukannya sedangkan cara atau jalannya tidak pernah mereka pelajari? Dari sinilah bermulanya titik-tolak atas apa yang dimaksudkan bahawa mereka dalam keadaan rugi kerana pahala-pahala yang mereka telah timbunkan itu, sekali-kali tidak akan mendatangkan manfaat atas mereka kerana didunia ini mereka mengabaikan Ihsan. Ketahuilah, sesempurna mana pun solat seseorang itu walau begitu takzim ia mengikuti segala perlakuan rukun-rukunnya dan mengambil perhatian terhadap sekelian syarat sah dan betapa merdu pun suaranya dengan kebagusan bertarannum, tempatnya kelak akan tetap didalam neraka oleh kerana pengabaian yang ia lakukan terhadap Ihsan, ‘maka celakalah orang-orang yang solat (yakni) orang-orang yang solat dalam keadaan lalai [al-Maun:4,5]’. Lalai dalam maksud ayat diatas ialah meninggalkan Ihsan yakni gagal memandang Allah dengan sebulat penumpuan semasa mendirikan solat malah mereka masih lagi mengingati urusan-urusan dunia dalam solat.

16 Responsesto “Perkara Yang Semakin Dilupai”

  1. Redzha says:

    Mana lebih baik, firman yang kita baca pagi dan petang, tetapi tak dapat menentukan kedudukan kita. atau…
    Firman yang Allah Taala sendiri bacakan terus kepada kita, yangmana dengan firman itu kita dapat menentukan kedudukan kita.

  2. shahil says:

    Assalaamualaikum.

    Jangan kita mencela ahli syari’at yang menuntut pahala. Manusia berlain-lainan tahapnya. Anak kecil tidaklah harus dicela.

    ALLah menyediakan pahala sebagai upah. Upah ialah perangsang bagi orang yang awam.

    Bagi yang telah mencapai khawas tidak lagi menuntut upah. Namun ALLah Taala sentiasa memberikan perangsang dengan upah yang besar.

    Namun kita dianjurkan berkata “Wahai Tuhanku, berikanlah kebaikan kepadaku di dunia, kebaikan di akhirat dan hindarkan aku dari nerakamu”.

    Redha dan berdoa tiada tinggi atau rendahnya. Ia hanya berbeza menurut keperluan orannya.

    Wassalam

  3. sarip dol says:

    wa alaikum salam.

    kalau sdr Shahil baca betul-betul dengan berlapang dada pada penulisan yang diatas pasti sdr tidak akan menemui mana-mana ayat yang ditulis sebagai sengaja mencela ahli syariat.

    yang saya singgung ialah orang-orang yang mendirikan ibadah (hanya memberati perkara hukum) tanpa mempedulikan Ihsan maka orang-orang yang sebegini mendapat celaan Allah didalam Al Quran. itu saja.

    baca dan fahamkan betul-betul.

  4. khulo says:

    assalamualaikum..
    sememangnya perlakuan iman dan taat akan mendapat imbalan darinya
    begitu juga kufur dan maksiat pasti akan mendapat hitungannya lantas
    peliharalah penglihatan,pendengaran dan hati..

  5. Saliq says:

    Assalamualaikum saudara Sarip,

    Saya diperkenalkan seorang sahabat kepada penulisan saudara.
    Saya tertarik dengan pembentangan hujah saudara.
    Bukan kerana penulisan yang kemas dan susun bahasa yang cantik.
    Tapi kerana ketelusan & intipati setiap kupasan saudara mengenai tasawwuf.

    Saya cukup bergembira bila mengetahui ada juga insan yang menekankan hal ‘rahmat’.
    Dan saya cukup bersefahaman bila saudara utarakan hal pendidikan agama yang sengaja
    dipecah-pecahkan oleh pihak sekular atas dasar kepentingan masing-masing.

    Bila terbaca “anak kecil tidak harus dicela”, saya teringat pada kisah Nabi Khidir.
    Cuma yang ‘mengetahui’ yang tidah mempersoal.

    Saudara,
    Saya doakan rahmat dilimpahi ke atas saudara.
    Semoga kita dapat membentuk generasi baru yg lebih Ihsan.

    Awalludin Ma’rifatullah

  6. sarip dol says:

    wa ‘alaikumussalam sdr saliq.

    terima kasih atas doa sdr kepada saya dan saya doakan sdr begitu juga.

    saya tertarik dengan kata-kata bait terakhir tulisan sdr yakni Awalludin Ma’rifatullah yang mana tok guru Tasawuf dulu-dulu menyebutnya secara kias sebagai perkara Fardhu sebelum Fardhu. namun perkara Fardhu didalam Fardhu dan perkara Fardhu berserta Fardhu telah ramai yang melupakannya dan akibat dari itu segelintir ahli hakikat dizaman sekarang ini tidak matang ma’rifahnya kepada Allah.

    Dan kepada Allah jualah kita mengharapkan hidayahNya.

  7. Zul says:

    “Barang siapa kenal dirinya maka kenal dia akan Tuhannya. Barang siapa yang kenal dirinya maka binasa ia..”.

  8. Zul says:

    Maaf salah type..Yg kedua tu sepatutnya “..barang siapa yg kenal Tuhannya maka binala ia..”. Ade org bagitau saya.
    Boleh tuan sarip terangkn maksudnya.

  9. sarip dol says:

    man arofa nafsahu faqod arofa robbahu maksudnya ialah wa fil ardhi ayatul lilmuuqinun wa fi anfusikum afala tubshirun.

    man arofa robbahu fasada jasad maksudnya ialah Huwal awwalu wal akhiru waz zohiru wal bathinu.

  10. nizam says:

    Salam Tuan Sarip Dol,

    Astagfirullah

    Edanya tuan sewenang nya menterjemah Al Quran ikut maunya:

    TERJEMAHAN TUAN:

    Apakah mereka lupa pada firman-firman Allah swt yang sering mereka baca pagi dan petang? Tidakkah mereka pernah menemui firman Allah swt pada surah az-Zukhruf ayat yang ke 32 yang bermaksud, ‘dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan’.

    TERJEMAHAN PENUH:

    Terjemahn penuh Az Zukhruf ayat 32

    (Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.

    =====================================
    Ayat ini memberi AMARAN kepada manusia yang mengumpul harta benda tanpa mengira waktu, tp tuan telah menyalah guna ayat ini! Bukan kepada ahli syarie~

    Mohin tuan hentikan usaha tuan ini, tuan lagi dangkal lagi menambah masalah.

    Jzk

    Nizam
    Sg Penchala

  11. nizam says:

    Zul
    2011/02/15 at 1:44 am
    Maaf salah type..Yg kedua tu sepatutnya “..barang siapa yg kenal Tuhannya maka binala ia..”. Ade org bagitau saya.
    Boleh tuan sarip terangkn maksudnya.

    Salam Zul,

    Ini kutipan dari makrifatullah?
    Buang sj lah benda karut ini..

    Ambik 2 aja zul, Quran dan Sunnah
    Kalau tak sama makanya bid ah la tu

  12. nizam says:

    Salam sahabat2 sekelian dan Tuan sarip dol,
    ingatlah ayat2 dibawah ini

    Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab seksa dengan sebab mereka berlaku fasik.

    (Al-An’aam 6:49)

    Jzk

  13. Sarip Dol says:

    sdr nizam,

    Kalau sdr tak tahu apa itu KHILAF dan tak mahu berlapang dada dengan KHILAF maka sdr dipersilakan keluar dari blog saya.

  14. syed abdul jalil syed abdul kadir says:

    Asalamualaikum, Alhamdulillah wa rahmatillah ilaik…kami rasa terharu dan sangat bersyukur kpd Allah kerana menemukan kami dgn blog ilmu ini.kepada semua pengunjung blog marilah kita berlapang dada dan sentiasa bersyukur atas segala kurniaan Allah ini…kutiplah mana yang sesesuai dgn segala jenis buah buahan ilmu yang berbagai jenis yang sama rasa (sehati) dan yang tak sama rasanya (sehati)…fahamkan dan senetiaslah memohon ihsan tuhan yang mengatur lagai maha bijak sana…In Syaa AllAH. Asalamualaikum

  15. Tok Abah says:

    Asalamualaikum semua……….Bismillahirohmannirrohim Tok abah nak kata cikit….ISLAM itu adalah agama kasih dan sayang…jadi kalau kita mengaku kata kita MUSLIM semestinya dalam apa pon kita kena berkasih sayang…ikhlaskan niat kita kerana ALLAH. Asalamualaikum

  16. Abdullah says:

    Saya rasa saudara nizam tu yang kurang faham ayat2 Allah..apa maksud berdusta pun dia xfaham..jangan pedajjal orang atau hukum orang..boleh membawa kepada kezaliman.bagi saya terpulang masing2 nak duduk di sebelah mana,amalan ku untuk ku,amalan mu untuk mu.jadi saudara nizam kalau kurang faham ayat2 Allah jangan pulak jadi batu api..hati kena suci dan bersih baru boleh ikut jalan Allah..

Leave a Reply