Tentang Allah

Tentang Allah

Suatu hari Raja Muzaffar yang masih kanak-kanak bertanya kepada bondanya tentang Allah.

“Bonda.. Dimana Allah dan bolehkah anakanda melihatNya?”

“Oh.. Allah itu di Arasy wahai anakanda dan anakanda tidak dapat melihatNya kerana Allah berada nun jauh diatas 7 petala langit. Sedangkan langit kedua pun manusia tidak nampak bagaimana hal keadaan zatnya lantas bagaimana mungkin anakanda akan dapat melihat Allah yang berada di Arasy yang terletak lebih atas dan jauh daripada 7 petala langit?”

“Oh begitu… Bagaimana dengan dalilnya bonda?”

“Dalilnya begini.. “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy untuk mengatur segala urusan”.. dari surah Yunus ayat ke 3.”

Maka giranglah hati Raja Muzaffar kerana telah mendapat jawapan daripada persoalan yang selama ini sentiasa semak difikirannya. Masa pun berlalu.. hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun, maka telah remajalah Raja Muzaffar. Suatu hari Raja Muzaffar diperintahkan ayahandanya supaya belajar ilmu-ilmu agama dari Syeikh Abdullah selaku Mufti di negeri ayahandanya itu. Maka tidak sabar-sabarnya lagi Raja Muzaffar mahu berguru dengan Syeikh Abdullah sementelah pelajaran agama adalah yang paling diminatinya.

Suatu hari sambil duduk-duduk santai dengan Syeikh Abdullah tiba-tiba Raja Muzaffar ditanyai Syeikh Abdullah dengan 2 persoalan yang tidak asing baginya.

“Wahai anakanda Putera Raja.. Dimana Allah dan bolehkah anakanda Putera Raja melihatNya?”

Sambil tersenyum Raja Muzaffar menjawab sebagaimana yang telah diajarkan bondanya dahulu.

“Allah itu di Arasy wahai Syeikh Guru dan beta tidak boleh melihatNya kerana Allah berada nun jauh diatas 7 petala langit.”

Tersenyum kecil Syeikh Abdullah mendengar jawapan muridnya itu dan sejenak selepas menghela nafasnya Syeikh Abdullah lalu bersuara..

“Begini anakanda Putera Raja… Allah itu bukannya makhluk seperti kita lantaran itu Allah tidak seperti kita. Apa sahaja hukum yang terjadi pada makhluk tidak berlaku seperti itu atas Allah. Oleh itu Allah tidak bertempat kerana bertempat itu hukum bagi makhluk.”

“Lantas dimana Allah itu wahai Syeikh Guru?”

“Allah itu tidak bertempat kerana Dia bersifat qiammuhu binafsihi yang bermaksud Allah tidak berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati. Jika kita mengatakan Allah berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati maka ketika itu kita telah menyerupakan Allah dengan keadaan makhluk. Ketahuilah, Allah tidak serupa dengan makhluk berdasarkan kepada dalil dari surah asy-Syuura ayat 11 yang bermaksud “Dia tidak menyerupai segala sesuatu.” Allah tidak berdiam di Arasy kerana Arasy itu adalah makhluk. Bagaimana mungkin makhluk dapat menanggung zat Allah sedang bukit dihadapan Nabi Musa pun hancur kerana tidak dapat menanggung pentajalian Allah.”

Raja Muzaffar mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Kemudian Syeikh Abdullah menambah..

“Berkenaan tentang anakanda Putera Raja tidak boleh melihat Allah itu adalah betul namun bukanlah kerana Allah itu jauh maka anakanda Putera Raja tidak boleh melihatNya.”

“Jika bukan begitu lantas bagaimana Syeikh Guru?” Tanya Raja Muzaffar beria-ia ingin tahu.

“Sebenarnya kita tidak dapat melihat Allah bukanlah kerana faktor jarak tetapi kerana keterbatasan kemampuan penglihatan mata manusia yang tidak mampu melihat zatNya. Ini bersesuai dengan firman Allah yang bermaksud “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.”.. dari surah al-An’am ayat 103.”

Terdiam Raja Muzaffar mendengar hujah gurunya itu. Barulah beliau sedar bahawa apa yang menjadi pegangannya selama hari ini adalah salah. Pegangan yang mengatakan bahawa Allah itu di Arasy dan Allah tidak boleh dilihat kerana faktor jarak adalah satu kesilapan. Huraian daripada gurunya melalui ilmu Kalam membuatkan Raja Muzaffar begitu kagum dengan kekuasaan akal yang dapat menghuraikan segala-galanya tentang Tuhan. Bermula dari hari itu Raja Muzaffar berpegang dengan hujah gurunya bahawa Allah itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat Allah kerana keterbatasan kemampuan penglihatan mata manusia. Akhirnya dengan berkat ketekunan dan kesungguhan, Raja Muzaffar telah berjaya menguasai ilmu-ilmu ketuhanan menurut peraturan ilmu Kalam sebagaimana yang diajarkan oleh Syeikh Abdullah hingga mahir.

Masa terus berjalan dan kini Raja Muzaffar telah dewasa. Oleh kerana begitu minatnya yang mendalam tentang ilmu-ilmu ketuhanan maka beliau meminta izin daripada ayahandanya untuk menperdalamkan lagi ilmu pengetahuannya dengan belajar dari guru-guru yang berada diluar istana sementelah Syeikh Abdullah telah meninggal dunia. Ayahandanya memberi izin lalu tanpa berlengah Raja Muzaffar menemui sahabat-sahabat sealiran almarhum Syeikh Gurunya untuk melanjutkan pelajaran.

Raja Muzaffar mempunyai sikap yang pelik. Saban hari apabila beliau melalui pekan-pekan kecil untuk sampai ke rumah guru-gurunya, beliau akan bertanya kepada setiap orang yang ditemuinya dengan soalan yang pernah ditanya kepada bondanya iaitu dimana Allah dan bolehkah manusia melihatNya?. Bagi sesiapa yang menjawab soalannya itu sebagaimana yang pernah dijawab oleh bondanya maka beliau akan membetulkan kefahaman orang itu dengan hujah almarhum gurunya Syeikh Abdullah. Jika orang itu tidak mahu tunduk dengan hujahnya maka orang itu akan dipukulnya sebelum diusir dari negerinya itu. Begitulah sikap Raja Muzaffar setiap hari sehingga pada suatu hari beliau bertemu dengan seorang tua yang sedang bertungkus-lumus menyediakan air minuman untuk diberi minum kepada orang yang lalu-lalang disebuah pekan tanpa mengambil sebarang upah. Melihat kelakuan pelik orang tua itu lantas Raja Muzaffar mendekatinya.

“Hei orang tua.. mengapa kamu tidak mengambil upah atas usahamu itu?”

Tanya Raja Muzaffar tegas. Orang tua yang sedari tadi begitu khusyuk mengagih-agihkan minumannya itu terkejut dengan pertanyaan Raja Muzaffar lalu meminta Raja Muzaffar memperkenalkan dirinya.

“Siapakah tuan ini?” Tanya si Tua.

“Beta adalah Putera Raja negeri ini!” Jawab Raja Muzaffar tegas.

“Oh kalau begitu tuan ini tentu Raja Muzaffar yang terkenal dengan ketinggian ilmu ketuhanan itu. Tapi sayang, tuan hanya tahu ilmu tentang Allah tetapi tuan sendiri belum mengenal Allah. Jika tuan telah mengenal Allah sudah pasti tuan tidak akan bertanya kepada saya soalan tuan tadi.”

Terkebil-kebil mata Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Hatinya terpesona dengan ungkapan ‘mengenal Allah’ yang diucapkan orang tua itu. Lantas beliau bertanya kepada orang tua itu.

“Kemudian apa bezanya antara ‘tahu’ dengan ‘kenal’?”

Dengan tenang si Tua itu menjawab..

“Ibarat seseorang yang datang kepada tuan lantas menceritakan kepada tuan tentang ciri-ciri buah nangka tanpa menunjukkan zat buah nangka, maka ini mertabat ‘tahu’ kerana ianya hanya sekadar maklumat dan orang yang berada pada mertabat ini mungkin akan menyangka bahawa buah cempedak itu adalah nangka kerana ciri-cirinya seakan sama. Berbanding seseorang yang datang kepada tuan lantas menghulurkan sebiji buah nangka, maka ini mertabat ‘kenal’ kerana zatnya terus dapat ditangkap dengan penglihatan mata dan orang yang berada pada mertabat ini pasti dapat mengenal mana cempedak dan mana nangka dengan tepat.”

Raja Muzaffar mendengar dengan teliti huraian si Tua itu. Diam-diam, hatinya membenarkan apa yang diperkatakan si Tua itu. Kemudian terlintas dihatinya untuk bertanyakan soalan yang lazim ditanyanya kepada orang ramai.

“Kalau begitu wahai orang tua silalah jawab persoalan beta ini.. Dimana Allah dan bolehkah manusia melihatNya?”

“Allah berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihatNya.” Jawab si Tua dengan tenang.

Tercengang Raja Muzaffar mendengar jawapan orang tua itu. Seketika kemudian terus saja orang tua itu dipukulnya sehingga jatuh tersungkur. Melihat orang tua itu tidak cuba mengelak pukulannya bahkan langsung tidak menunjukkan reaksi takut maka Raja Muzaffar pun lantas bertanya..

“Kenapa kamu tidak mengelak pukulan beta wahai orang tua?”

“Bukankah tadi sudah saya bilang.. tuan ini hanya orang yang tahu tentang Allah tetapi bukannya orang yang benar-benar mengenal Allah.”

Terdiam Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Kemudian beliau menenangkan dirinya lantas bersegera duduk diatas tanah dihadapan orang tua itu.

“Baiklah orang tua. Silalah huraikan jawapan kamu tadi sebab beta berpegang bahawa Allah itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat Allah.”

“Allah itu tidak bertempat adalah menurut pandangan hukum akal sahaja sedang pada hakikatnya tidak begitu.” Ujar orang tua itu sambil mengesat bucu bibirnya yang berdarah. Kemudian beliau menyambung..

“Bukankah Allah itu wujudNya esa?”

“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.

“Jika Allah itu wujudNya esa maka sudah barang tentu tidak ada wujud sesuatu bersertaNya.”

“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.

“Lantas bagaimanakah kedudukan wujud alam ini jika Allah itu diyakini wujud tanpa ada selain zat yang wujud bersertaNya dengan pandangan mata hati?”

Raja Muzaffar memejamkan matanya rapat-rapat lantas dikerahkan pandangan mata hatinya untuk memahami persoalan yang ditanyai orang tua itu. Tiba-tiba akalnya dapat menangkap dan memahami hakikat alam ini jika ianya merujuk kepada ruang lingkup keesaan wujud Allah. Lantas beliau membuat satu kesimpulan..

“Jika dipandang dari sudut esanya wujud Allah maka alam ini tidak lain melainkan diriNya sendiri… Tiba-tiba sahaja perkataan itu terpacul keluar dari bibirnya. Terkebil-kebil matanya apabila mendengar ucapannya sendiri. Maka lidahnya kelu dan akalnya lumpuh. Terkejut. Tergamam. Terbungkam.

“Jadi kalau begitu ketika tuan memandang alam ini, siapa yang tuan pandang pada hakikatnya?” Pantas soalan itu diajukan kepada Raja Muzaffar.

“Pada hakikatnya beta memandang Allah!”

“Nah kalau begitu bukankah Allah ada berfirman yang bermaksud “Dimana sahaja kamu menghadap, disitulah wajah Allah” dari surah al Baqarah ayat 115 dan dalam surah al Hadiid ayat 3 yang bermaksud “Dialah yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin.”

Kemudian orang tua itu bertanya lagi..

“Dan sekarang dapat atau tidak tuan melihat Allah ketika ini”

“Ya.. beta menyaksikan dengan ainul basyiroh.”

Perlahan-lahan berjujuran air mata dari bucu mata Raja Muzaffar. Beliau menahan sebak kerana sekarang beliau sudah faham kenapa orang tua itu tidak mengambil upah atas usahanya dan tidak mengelak ketika dipukul. Semuanya kerana yang dipandangnya adalah pentajallian Allah. Dalam hati perlahan-lahan beliau berkata.. “Memang benar sesungguhnya pada sudut ini, Allah berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihat Allah.”

“Makanya wahai Putera Raja.. inilah yang dinamai sebagai ilmu hakikat.”

Semenjak hari itu, Raja Muzaffar terus mendampingi orang tua itu untuk mempelajari lebih dalam selok-belok ilmu hakikat hingga diangkat beliau oleh gurunya menduduki kedudukan Syeikh ilmu hakikat. Demi mempraktikkan ilmu-ilmu hakikat yang halus, Raja Muzaffar telah menjadi seorang ahli ibadah yang alim. Beliau tidak lagi berpegang dengan fahaman almarhum gurunya iaitu Syeikh Abdullah kerana baginya jalan yang boleh membuatkan seseorang itu dapat mengenal Allah dengan haqqul yaqin ialah dengan ilmu hakikat. Beliau telah mengenepikan duduk didalam peraturan hukum akal sama sekali dan mulai duduk didalam peraturan musyahadah. Bagi beliau, ilmu Kalam yang dituntutnya selama ini adalah semata-mata salah.

Setelah kemangkatan ayahandanya maka Raja Muzaffar ditabalkan menjadi sultan dinegerinya dan sekarang beliau menyandang gelaran Sultan Muzaffar Syah pada usia 50 tahun. Beliau memerintah negerinya dengan adil dan saksama namun sikap peliknya yang dahulu masih diteruskannya. Dimana sahaja beliau pergi beliau tetap akan bertanyakan soalannya yang lazim itu. Jika orang yang ditanya tidak dapat menjawab maka akan diajarkan jawabannya menurut ilmu hakikat dan jika orang itu membangkang akan dihukum bunuh. Akhirnya kelaziman Sultan Muzaffar Syah ini membuatkan seluruh rakyat jelatanya menganut fahaman hakikat. Justeru itu rakyat jelata dinegerinya hidup aman dan makmur.

Suatu petang Sultan Muzaffar Syah yang terkenal sebagai Mursyid ilmu hakikat itu berjalan-jalan disebuah padang rumput yang luas dengan ditemani para pembesar istana. Pandangannya tertarik pada gelagat seorang pemuda pengembala kambing dalam lingkungan usia 30an yang sedang berusaha menghalau seekor serigala yang cuba memakan kambing gembalaannya. Baginda mendatangi pemuda gembala itu. Kelihatan pemuda itu hanya memakai pakaian yang diperbuat daripada guni dan tidak mempunyai kasut sebagai alas kaki. Rambutnya kering berdebu, bibirnya kering dan badannya kurus.

“Wahai pemuda.. kenapa kamu menghalau serigala itu dari memakan kambing itu, tidakkah kamu menyaksikan hakikat serigala itu? Maka biarkan sahaja Allah bertindak menurut kemahuanNya.”

Mendengar kata-kata Sultan Muzaffar Syah itu sekonyong-konyong pemuda gembala itu menggenggam pasir lantas dilemparkannya pasir itu ke muka Sultan Muzaffar Syah. Kemudian pemuda gembala itu membongkok untuk mengambil segenggam pasir lagi lalu dilemparkan lagi ke muka Sultan Muzaffar Syah. Sultan Muzaffar Syah hanya tercegat sahaja mungkin terkejut dengan tindakkan pemuda gembala itu. Pemuda gembala itu terus mahu mengambil segenggam pasir lagi dan melihat itu seorang pembesar istana yang berada disitu terus memukul pemuda gembala itu hingga beliau pengsan.

Apabila sedar dari pengsan, pemuda gembala itu mendapati tangan dan lehernya telah dipasung dengan pasungan kayu didalam sebuah penjara. Tidak lama kemudian datang dua orang pengawal istana dengan kasar merenggut badannya dan membawanya ke suatu tempat yang amat asing baginya. Tidak lama berjalan akhirnya mereka sampai dihadapan singgahsana Sultan Muzaffar Syah.

“Mengapa kamu melempari muka beta dengan pasir?” Tenang sahaja pertanyaan Sultan Muzaffar Syah.

“Kerana tuanku mengatakan bahawa serigala itu adalah Allah yakni Tuhan saya.”

“Bukankah hakikat serigala itu sememangnya begitu?” Tanya Sultan Muzaffar Syah hairan.

“Nampaknya dakwaan yang mengatakan bahawa tuanku ini adalah seorang yang mengenal Allah adalah bohong semata-mata.”

“Kenapa kamu berkata begitu?”

“Sebab orang yang sudah sempurna mengenal Allah pasti merindui untuk ‘menemui’ Allah.”

Setelah 30 tahun baru hari ini hati Sultan Muzaffar Syah terpesona lagi apabila mendengar ungkapan ‘menemui Allah’ yang diucapkan oleh pemuda gembala itu. Dahulu hatinya pernah terpesona dengan ungkapan ‘mengenal Allah’. Sejurus itu juga Sultan Muzaffar Syah memerintahkan agar pasung kayu yang dikenakan pada pemuda gembala itu ditanggalkan.

“Lantas apa utamanya ‘bertemu’ berbanding ‘kenal’?”

Tanya Sutan Muzaffar Syah.

“Adakah tuanku mengenali sifat-sifat Rasulullah?”

Tanya pemuda gembala itu tiba-tiba..

“Ya, beta kenal akan sifat-sifat Rasulullah.”

“Lantas apa keinginan tuanku terhadap Rasulullah?”

“Semestinyalah beta mahu dan rindu untuk menemuinya kerana baginda adalah kekasih Allah!”

“Nah begitulah… Orang yang sempurna pengenalannya terhadap sesuatu pasti terbit rasa ingin bertemu dengan sesuatu yang telah dikenalinya itu dan bukannya hanya sekadar berputar-putar didaerah ‘mengenal’ semata-mata.”

Tiba-tiba sahaja Sultan Muzaffar Syah berteriak kuat dengan menyebut perkataan ‘Allahu Akbar’ sekuat-kuat hatinya lalu baginda jatuh pengsan. Tidak lama kemudian setelah wajahnya disapukan dengan air sejuk maka baginda kembali sedar. Sultan Muzaffar Syah terus menangis teresak-esak hingga jubahnya dibasahi dengan air matanya. Baginda memuhassabah dirinya.. “Memang.. memang selama ini beta mengenali Allah melalui ilmu hakikat tetapi tidak pernah hadir walau sekelumit rasa untuk bertemu denganNya. Rupa-rupanya ilmu hakikat yang beta pegangi selama ini juga salah sepertimana ilmu bonda dan ilmu Syeikh Abdullah”.. bisik hatinya. Kemudian terlintas difikiran Sultan Muzaffar Syah untuk menanyakan soalan lazimnya kepada pemuda gembala itu.

“Kalau begitu wahai orang muda, silalah jawab persoalan beta ini.. Dimana Allah?”

Dengan tenang pemuda gembala itu menjawab..

“Allah berada dimana Dia berada sekarang.”

“Kalau begitu, dimana Allah sekarang?

“Sekarang Allah berada dimana Dia berada dahulu.”

“Dimana Allah berada dahulu dan sekarang?”

“Dahulu dan sekarang Dia berada ditempat yang hanya Dia sahaja yang ketahui.”

“Dimana tempat itu?”

“Didalam pengetahuan ilmu Allah.”

Sultan Muzaffar Syah terdiam sebentar sambil keningnya berkerut memikirkan jawapan yang diberi pemuda gembala itu. Kemudian baginda meneruskan pertanyaannya lagi.

“Bolehkah manusia melihat Allah?”

“Kunhi zatNya tidak boleh dicapai dengan pandangan mata kepala dan pandangan hati.”

“Sila perjelaskan lagi wahai anak muda.” Pinta Sultan Muzaffar Syah.

“Begini tuanku.. adapun jawapan yang diberikan oleh bonda tuanku itu diatas soalan lazim yang tuanku berikan itu adalah sebenarnya betul menurut tahapan akal tuanku yang ketika itu dinilai masih kanak-kanak. Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh Abdullah itu juga betul jika dinilai dari sudut hukum akal. Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh Tua itu juga betul jika dinilai dari sudut pengamalan musyahadah terhadap ilmu Hakikat. Begitu jugalah dengan jawapan yang saya berikan juga betul jika dinilai dari sudut ilmu Ma’rifat. Tiada yang salah cuma ilmu itu bertahap-tahap dan tuanku telah pun melalui tahapan-tahapan itu. Dari tahapan jahil (ilmu bonda) ke tahapan awam (ilmu Kalam) kemudian ke tahapan khusus (ilmu Hakikat) dan akhir sekali ke tahap khawasul khawas (ilmu Ma’rifat).”

Kemudian pemuda gembala itu terus menyambung kata-katanya..

“Jika ilmu Hakikat itu jalan fana kerana menilik kepada zat Allah maka ilmu Ma’rifat pula jalan baqo’ kerana menilik terus kepada Kunhi zat Allah. Maka jawapan bagi persoalan tuanku itu secara yang dapat saya simpulkan ialah Tiada yang tahu dimana Allah melainkan Allah dan tiada sesiapa yang dapat melihat Allah melainkan diriNya sendiri.”

Sultan Muzaffar Syah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.

“Jadi bagaimana hendak sampai ke tahap mengenal Allah dengan sempurna sehingga terbit rasa ingin untuk menemuiNya?”

“Jangan mengenal Allah dengan akal sebaliknya mengenal Allah dengan Allah.”

“Kemudian, apakah cara-caranya untuk dapat bertemu dengan Allah?”

“Sebagaimana firman Allah yang bermaksud “.. Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amalan soleh dan janganlah dia mempersekutukan Tuhannya dalam beribadat kepadanya”.. dari surah al Kahfi ayat 110.”

Mendengar penjelasan daripada pemuda gembala itu hati Sultan Muzaffar Syah menjadi tenang dan akhirnya baginda diterima menjadi murid si pemuda gembala itu. Kerana kesungguhan yang luarbiasa dalam menuntut ilmu Ma’rifat maka baginda mahsyur terkenal sebagai seorang sultan yang arifbillah lagi zuhud dan warak. Kemudian rakyatnya dibiarkan bebas untuk berpegang pada mana-mana fahaman pun asalkan ajarannya masih didalam ruang lingkup yang mengikuti pegangan Ahlussunnah wal Jamaah. Dan sekarang pada usia 70 tahun barulah Sultan Muzaffar Syah sedar dan faham bahawa untuk memahami tentang Allah maka seseorang itu harus melalui tahapan-tahapan yang tertentu sebelum seseorang itu layak dinobatkan sebagai arifbillah. Baginya samada ilmu Kalam, ilmu Hakikat atau ilmu Ma’rifat maka kesemuanya adalah sama penting untuk dipelajari bagi mewujudkan kesempurnaan untuk mencapai kedudukan Insan Kamil yang Ma’rifatullah.

Kini Sultan Muzaffar Syah sudah memahami bagaimana rasanya rindu kepada Allah dan bagaimana rasanya benar-benar tidak sabar untuk bertemu Allah. Sejak semalam mulutnya tidak henti-henti asyik mengucapkan kalimah Allah..Allah..Allah dan kadang-kadang terlihat deruan air mata jernih mengalir perlahan dipipinya sewaktu dipembaringan. Perlahan-lahan pemuda gembala menghampiri Sultan Muzaffar Syah yang sejak 20 tahun lalu tinggal bersama dengannya dirumah usangnya lantas meletakkan kepala muridnya itu diribaan silanya dengan linangan air mata. Kini nafasnya mulai tersekat-sekat dan melihat itu, pemuda gembala merapatkan bibirnya ke telinga Sultan Muzaffar Syah lantas mentalqinkan baginda dengan dua kalimah syahadah seraya diikuti baginda dengan senyuman. Sejurus kemudian Sultan muzaffar Syah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Suasana hening… pemuda gembala menunduk sahaja dan sebentar kemudian dia berkata..

“Wahai alangkah beruntungnya.. sekarang tuanku benar-benar telah menemui Allah dan dapat mengenalNya dengan sebenar-benar kenal. Wahai Allah, masih belum layakkah untuk aku bertemu denganMu.. aku mencemburui Sultan Muzaffar Syah ini maka jemputlah aku menghadapMu Ya Allah…”. Sebentar kemudian pemuda gembala itu pun turut rebah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Suasana kembali hening………

Sarip Dol

Beliau adalah pengasas Pusat Rawatan Islam Sepohon Jadi (PRAWIS). Berpengalaman luas dalam Perubatan Islam lebih dari 15 tahun. Beliau juga pernah menjadi tenaga pengajar bertauliah NGM dalam bidang Tasauf, Tauhid/ Usuluddin dan Tajwid.

More Posts

53 Responsesto “Tentang Allah”

  1. pendeta says:

    Nukilan santai yang diisi dengan seribu satu kefahaman…Kadangkala ramai di antara kita terhenti didalam ruang lingkup hakikat, sehinggakan taklif syarak itu diringan-ringan kan….Pada tahap “menemui Allah ” ini terkandung cerita cinta, kasih, rindu, takut, gentar, segan dan sayang kepada Nya….

    Akhirnya akan kembali kepada syariat didalam kefahaman hakikat dan disempurnakan dengan kesempurnaan Ma’rifat…..

    Bersatunya Wahabi, Assyaari dan Farabi didalam karya yang cukup ringkas ini….Sebelum ini semuanya bersalah-salahan di antara satu sama lain, rupa-rupanya ianya benar belaka jika dinilai pada duduk letak pada martabat masing-masing…..syukurannnnnn

  2. sebatang kara says:

    saudara saripdol, bagaimanakah tauhid saya pada Tuhan yang tidak di talkin kan oleh seorang syeikh?.
    terma kasih utk jawaban nya.

  3. sarip dol says:

    jika tawhid sdr sebatangkara bersesuai dengan maksud TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH maka sdr adalah muslim walaupun tidak ditalqinkan oleh seorang Masyaikh. maka berbahagialah sdr kerana Allah telah menjanjikan syurga kepada barangsiapa yang mengakui dengan ucapan itu berserta mendirikan taklif syara’.

    adapun tawhid yang ditalqinkan oleh seorang Masyaikh hanya mengandungi ilmu-ilmu untuk sampai kepada mertabat taqarrub illallah melalui jalan ibadah, mujahadah, musyahadah dan riyadah berserta memahami ilmu-ilmu tareqat (mencapai mertabat nafsu Insan Kamil Mukamil), hakikat (mencapai mertabat fana fillah) dan ma’rifat (mencapai mertabat taqarrub illallah).

  4. cawankosong says:

    Salam tuan sheikh,

    Ilmu begini sangat berharga dunia dan akhirat. setakat ini hanya ketenangan untuk menghadapi ujian hidup sudah sy diperoleh (syukur sangat2) namun kerinduan untuk bertemuNya masih belum ada. Malah takut pula untuk menghadapi mati. kenapa begitu tuan, bukankah perasaan itu sepatutnya seiring?

  5. Tuan telah mengatakan mereka menemui kekasih mereka dengan “hembusan nafas yang terakhir”. Cuba tuan fikir balik. Bolehkah “hembusan nafas terakhir” menemukan mereka dengan kekasih mereka? Orang sekarang tidak percayakan martabat 7. Tuan telkah nyatakan firmannya. “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy untuk mengatur segala urusan”.. dari surah Yunus ayat ke 3.” Bermula dari la Takyin sebagai tonggak yang 6 lagi lahir nyata.

  6. Redzha says:

    Ceritanya panjang tetapi saya tidak nampak sandaran mana yang dikatakan sampai kepada maksudnya iaitu “mengenal Allah” sedangkan Allah itu mesti dikenal, seperti kita mengenal bapak kita sendiri.

  7. saifak says:

    subhanallah..begitu luasnya ilmu Allah..

    begitu menarik artikel ini..^_^

  8. sebatangkara says:

    sdr sarip dol, Tawhid yang saya maksud adalah Tiada yang wujud melainkan hanya ALLAH.( Af’al, asma, sifat dan wujud zat NYA)untuk ini apakah harus saya memasuki suatu tarekat,dan ditalkinkan oleh seorang masyaikh dan harus pulakah menjadikan diri bagaikan mayat dihadapan syaikh?. sekian terima kasih atas jawabannya.

  9. sarip dol says:

    sdr sebatangkara…

    LA MAUJUD BILHAQQI ILLALLAAH berada didalam pelajaran tingkatan Tasawuf Muntahi. makanya untuk mempelajarinya wajib diambil ilmunya dari ahlinya. wajib ditalqinkan oleh seorang masyaikh yang mursyid.

    wasalam.

  10. sarip dol says:

    assalamualaikum sdr Redza dan Shafiuddin.

    saya kira sdr berdua ini bukan ahli tasawuf maka kerana itulah sdr tidak segera faham maksud tersirat disebalik cerita diatas, namun begitu tidak mengapa.. mungkin cerita diatas berguna untuk kefahaman sdr berdua dimasa depan.

    wasalam.

  11. sebatangkara says:

    assalamualaikum sdr Sarip dol. Kalau begitu, dimana saya boleh mendapatkan / menjumpai guru yang mursyid itu?, kalau boleh tolong sdr Sarip dol kirimkankan alamat nya ke email saya.Sebelumnya saya ucapkan terima kasih.

    Wasalam.

  12. البحث عن الحقيقة says:

    sesungguhnya aku hanyalah hamba mu…Engkau adalah tuhanku..mana mungkin hamba yang lemah bersama ‘Yang maha sepurna’.

    Engkaulah yang memberi segala nikmat,yang wujud atas segala sesuatu,yang maha suci dan maha agung.

  13. Redzha says:

    Tujuan kita hidup adalah untuk mengenal Allah..
    Sesudah mengenal Allah maka beramal dan beribadahlah kepadanya.
    tetapi saudara katakan wajib ditalkinkan oleh seorang masyaikh yang mursyid.
    Saya ingin tahu adalah maksud mengenal Allah itu mesti melalui seorang masyaikh yang mursyid.

  14. البحث عن الحقيقة says:

    mengenal Allah adalah berperingkat mengikut amal masing-masing.pada peringkat/tahap ‘tiada yang sebenar-benarnya wujud melainkan Allah’ perlulah mendapat tunjuk ajar dari guru yang mursyid.Ini untuk mengelakkan tersesat. bagi orang awam ,mengenal Allah melalui dalil-dalil yang ada ,sah tauhidnya…cuma kita takut tergelincir saja.menjadi mereka yang khawas (betul ke eja ni…!) adalah lebih baik dan lebih terjamin imannya (insyaalah).guru yang mursyid pada zaman akhir ini sukar dicari.berdoa dan berharaplah agar kita semua akan ketemu satu ketika nanti.

    wasalam

  15. sarip dol says:

    sdr Redzha..

    saya rasa jawaban yang diatas adalah memadai untuk menjawab persoalan sdr.

  16. salam……….saya nak tnya kpd tuan sarip dol apakah itu tentang alam malakut,jabarut dan lahut……..dan apa pula maksud ahdah dan wahdah………??????

  17. khulo says:

    assalamualaika..
    masyaallah berdiri bulu roma ku…kasuwon.

  18. sarip dol says:

    sdr pengemis ilmu..

    adapun alam Malakut itu ialah A’yan Kharijah, alam Jabarut ialah A’yan Thabitah manakala alam Lahut pula ialah La ta’yan. Ahdah dan Wahdah pada sudut bahasa merujuk kepada perkataan ‘wahid’ yang bererti satu manakala Ahdah dan Wahdah pada sudut istilah ilmu Tasawuf ialah Esa atau Tunggal atau tidak berbilang-bilang atau tidak bercerai tanggal. perkara Ahdah dan Wahdah ini terkandung dalam ilmu Mertabat Tujuh (telah difatwakan haram oleh JAKIM) dan ianya tentang perkara Tajalli. Ahdah itu mertabat Zat Mutlak dalam keadaan La ta’yan manakala Wahdah mertabat Zat Mutlak dalam keadaan Ta’ayyun Awal yakni pada ketika itu tajalli Hakikatul Muhamadiyyah.

    sekian.. wasalam

  19. ayib says:

    Maaf
    konsep allah tidak baik dibicarakan. makin dibicarakan makin jd pemikiran, wacana, diskusi..akhirnya senam akal. mending lakukan, amalkan saja sedikit ilmu kita, nanti Allah akan dtang sendiri di tiap hati dan pengalaman kita masing2.

  20. salam………..
    sdr sarip dol….selain dr alam jabarut,malakut dan lahut ada tak lagi alam2 yang lain………????

  21. kumang says:

    ALLAH HU AKBAR….terima kasih…

  22. kura-kura says:

    jika tidak baik dibicarakan..maka usahlah berbicara..kiranya manfaat tidak kesampaian..hentikan suara..mudah-mudahan dengan demikian..allah akan hadir di hati kerana kerendahan diri..bukan dengan sedikit ilmu yg mengaku dimiliki..maha suci dzat dari apa2 yang disekutukan..jadikanlah kalam ini sebagai suatu kebaikan..

  23. kura-kura says:

    aku kura-kura akan tetap berjalan biarpun perlahan lahan..kerana yang dihadapan akan berlari kepada ku..daripada aku berhenti dan sekadar berbicara sambil menunggu dihadapanku akan datang sendiri kepadaku..aku tidak rela..perjalananku atas kemampuanku..aku akan terus berjalan..aku tidak mau berjalan dalam mimpiku..padahal sebenarnya aku tidak berjalan..allahu akbar..

  24. sarip dol says:

    jadi, teruskanlah berjalan pelan-pelan. insyaAllah, akan sampai jugak.

  25. kura-kura says:

    terima kasih tuan sarip dol..kerana menyuntik semangat kepada saya..al quran:rum:30)mohon berikan sedikit nasihat berguna lagi pada saya tuan..

  26. sarip dol says:

    ok saya tambah untuk kura-kura… tiada siapa yang terpelihara daripada godaan iblis melainkan hamba Allah yang mukhlis. maka marilah sama-sama kita pohon kepada Allah agar kita tergolong dalam golongan insan yang muklis. amin.

  27. kura-kura says:

    aminn..tuan sarip dol..saya ingin benar menjadi insan mukhlis..

  28. KhAiRuL says:

    Salam wahai tuan guru… Saya ada satu persoalan : Macam mana seharusnya untuk kita mengimani maksud ayat mutasyabihah Surah Yunus Ayat 3 mengenai hakikat “Dia Bersemayam Di Atas Arasy”… Jika dikaitkan dengan cerita Raja Muzaffar diatas, beliau mengimani ayat ini secara terus (pada peringkat jahil)..sesuai menurut tahapan akal ketika itu … Apabila meningkat ke tahapan awam (Ilmu Kalam), bagaimanakah kefahaman beliau /kita yg sepatutnya..? Seterusnya bagaimana pula apabila sampai ke tahapan Ilmu Khusus (Hakikat).?. Dan akhir sekali kefahaman pada tahapan khawasul khawas (ilmu Ma’rifat)..

    Mohon pencerahan… Sekian, terima kasih… Wassallam…

  29. sarip dol says:

    sdr khairul…

    “Dia bersemayam diatas arasy” menurut :

    1. ilmu Kalam – ilmu Kalam ialah tentang bagaimana akal memahami wahyu menurut pandangan akal itu sendiri tanpa mencacat-celakan sifat-sifat kesempurnaan Allah dari berlaku sebarang pentasybihan dengan zat, sifat dan af’al makhluk. oleh kerana kelemahan akal untuk memahami hakikat zat Allah disebabkan zat Allah itu ain wujudnya tidak seperti wujudnya ain makhluk yang boleh dipandang dengan mata kepala maka ayat diatas itu dtakwilkan kepada “menguasai arasy” menurut akal yang lemah sedang hakikat maksud ‘istiwa’ itu diserahkan bulat-bulat pengertiannya yang hakiki kepada Allah.

    2. ilmu Hakikat – berbeza dengan ilmu Kalam yang menggunakan akal sebagai alat untuk memahami Allah, sebaliknya ilmu Hakikat melalui ainul basyiroh. maka yang bersemayam atas arasy itu adalah Allah itu sendiri menurut pandangan hakikat. maka dari itu mereka berkata, “Allah bersemayam atas diriNya sendiri”. bagaimana nak menghuraikan persoalan ini maka ianya tidak semudah sebagaimana ahli ilmu Kalam menghuraikan idea-idea mereka kerana untuk memahami persoalan ini wajib bagi sipenanya itu telah terbuka ainul basyirohnya terlebih dahulu.

    3. ilmu ma’rifat – ahli ilmu ma’rifat sudah merdeka daripada diperbudakkan akal dan ainul basyiroh dalam survivalnya masing-masing. pada orang awam mereka akan berhujah dengan ilmu Kalam dan pada salik mereka akan berhujah dengan ilmu hakikat. mereka menuju jalan taqarrub kepada Allah dengan Allah. mereka ini abid yang alim.

  30. si luncai says:

    Fahamilah makna Arasy yang sebenarnya.pada pendapat hamba y jahil ini, arasy=Segala perkara perkara yang dibawah taklukan Allah.walaupun begitu di luar arasy juga masih di dalam takluk Allah.atau ertikata lain segala benda yg masih boleh difikir oleh akal berada didalam ruang lingkup arasy.tiada siapa yg dapat keluar dari arasy sekalipun malaikat jibrail.kecuali Rasullah SWT.Di buktikanya sewaktu peristiwa isra, dan mikraj.Wallahualam….

  31. kura-kura says:

    wasi a kuusiy yuhus samaa.. waati wal ardh..

  32. Nakia says:

    Di dalam AQ ada ayat yang menyebut “Arasy di bawahnya ada AIR”,Allah SWT bersemayam di atas Arasy dan Arasy pula atas AIR,Ini secara langsung memberitahu kepada kita bahawa Allah SWT bersemayam di atas AIR.Di mana,bila dan bagaimana Allah SWT bersemayam tidaklah layak kita tanya bagi Allah SWT kerana Allah SWT itu Laisa Kamislihi.Ini wajib kita faham sebagaimana Allah SWT berfirman di dalam AQ “segala sesuatu bertasbih memuji Allah SWT”.Jika kita lihat batu (segala sesuatu) mana ada mulut maka bagaimana pula batu nak bertasbih ? Maka demikianlah Allah SWT memberi misalannya di dalam AQ supaya kita mendapat faham.Berbalik kepada AIR tadi sains mendapati bahawa 70% kandungan tubuh manusia adalah AIR.Jika kita apply ayat tadi kita akan dapati bahawa Allah SWT bersemayam di atas Arasy yang berada di atas Manusia (70% AIR).

  33. mail kacip says:

    Assalamualaikum tuan rumah,

  34. Apabila orang yahudi berbicara tentang Allah , mereke berkata Allah itu esa. Tetapi mereka tetap berpagang bahawa darjat mereka itu sama seperti Nabi Muhammad. Apabila di lihat pada hadith; Muhammad itu adalah bapa kepada segala ROH. Adakah si yuhudi ini juga bapa pada kepada segala ROH. TAK MUNGKIN !!!! Kalau lah mereka ini mengaku bahawa mereka adalah bapa kepada anak haram mereka. talamlah orang pertama yang akan benarkan 100%

  35. Redzha says:

    Allah itu bersembunyi di dalam terang… kerana terlalu terang… sehinggakan manusia itu buta … bukan buta matanya tetapi buta matahatinya….

  36. Ridzwan says:

    Pemuda gembala Kambing telah memberikan jawapan yg hakiki tentang bnyk perdebatan yg ada dlm komen2 yg dibahaskan dlm pelbagai tajuk didlm blog ini.. Ambillah pengajaran darinya… itu je yg boleh yg simpulkan, yg lain sy tak tahu.. Wallahu’alam

  37. sarip dol says:

    sdr Talam.. orang Yahudi telah menolak kerasulan Muhammad SAW jadi bagaimana mereka boleh pula mengimani hadis yang sdr bawa itu? pelik? sepengetahuan sayalah, tiada seorang pun ahli tasawuf termasuk diri saya sendiri yang berpegang dengan iktiqad ‘bersamaan darjat dengan Rasulullah’. kalau ada pun yang berpendapat macam tu maka telah menyelewenglah dia dari lingkungan ahlussunah. setahu sayalah yang dikatakan orang Yahudi itu ialah puak-puak yang menggugurkan taklif syarak dalam kehidupannya.

  38. abdullah says:

    Seseorang yang tinggal bertahun-tahun di suatu kota,
    setelah ia tertidur segera,
    Melihat kota lain yang penuh kebaikan dan keburukan,
    serta kotanya sendiri hilang dari pikirannya.

    Ia tak pernah berkata kepada dirinya, “Ini sebuah kota-baru; aku adalah seorang asing disini”;

    Sebaliknya, ia membayangkan selalu tinggal di kota ini, dilahirkan dan dibesarkan disini.

    Apakah mengherankan apabila kemudian,
    diri tidak ingat lagi akan kampung halamannya dan tanah kelahirannya,
    karena ia lelap saat di dunia ini, bagai sebuah bintang diselimuti awan ?

    Apalagi saat ia melangkahkan kaki di berbagai kota dan debu yang menutupi penglihatannya belum tersapu.

    wahai tuhanku bantulah aku menghilangkan debu ini

  39. zam says:

    sabda nabi….”man ‘amila bima ‘alima awratshullah ‘ilman maa lam yakun ya’lam”…..mafhum…sesiapa yg beramal(tareqat) dengan apa yang dipelajarinya(syariat), pasti Allah akan wariskan ilmu(haqiqat) yang tak pernah didapatinya sebelum ini.

  40. Zul says:

    Assalamualikum.
    Baru2 ni bapa saya ada berkata “Ajoy..Tutup la mata dan sebutlah namamu dalam hati..”. Dan kemudian dia bertanya, boleh bagitau siapa yang menyebut itu dan dari mana datangnya.

    Boleh tuan huraikan pada saya yang miskin ilmu ini.

  41. sarip dol says:

    wa alaikum salam

    yang sebut tu diri Terperi kamu yang datangnya dari diri Sebenar Diri kamu. pegilah tanya ayah kamu.. pada hakikatnya diri kamu itu siapa?

  42. zul says:

    Ya, Saya faham. Di ibaratkan tebu, gula dan manis.

  43. Tony says:

    melihatkan yg byk kpd satu.. inna lillah hiwainna hirojiun..

  44. pengembara says:

    masya’allah…. maha benar lah kalamullah hanya dia saja yg mengenal, melalui diri nya, kpd diri nya…..syabas Tuan Sarip Dol kerana terpilih sebagai tempat nya untuk mentajalli kan ilmu bagi kefahaman kesemua kita2 perindu nya……( tiada daya tuan sarip dol melainkan dia juga yg menggerakkan, bermakna dari sudut hakikat Dia lh yg berbicara ) syukran

  45. ruhani says:

    Salam terima kaseh ,makin banyak kita soal makin banyak yg kita tk tahu….

  46. sheik mazrul says:

    Terima kasih sarip dol tk kira siapa orangnya

  47. sarip dol says:

    sama-sama.

  48. g.ginola says:

    salam.. dari penceritaan tuan ttg tahu, kenal dan temui nampaknya seperti kita hanya dapat bertemu dgn allah selepas kt mati shj wpun kt sudah tahu dan kenal akan allah.. jd bagaimanakah yg dikatakan bertemu dgn nya sebelum kt menghembuskan nafas terakhir di alam nyata ini yakni yg sering kt dgr iaitu mati sebelum mati.. apakah mati sebelum mati yg sebenanrnya, mohon pencerahan ..

  49. serban hitam says:

    salam tuan g.ginola..

    hendak kenal tuhan…dimana?
    tuhan dimana sampai kita boleh kenal?
    kata allah tidak bertempat?…..
    hakikat allah itu tiada kita tahu..
    allah hanya allah…tiada dapat kita kenal dan Dia tidak mampu kita kenal…..cuma..
    maksud kenal,sebenarnya..apabila capai ‘fana’ maka dinisbahkan orang itu kenal allah….hakikatnya bukan boleh dilihat dengan mata kasar atau mata hati..kenal allah bukan dengan bashirah…kenal allah dengan allah..itu hakikat kenal….

    apabila capai fana..barulah ada pembukaan tentang allah…
    ilmu ini bukan boleh dipecah dengan fikiran..hanya boleh dipecah oleh allah…hakikat ilmu itu dari allah..
    mohonlah dengan allah..apabila sudah memahami,,itulah hakikat islam………

  50. g.ginola says:

    terima kasih tuan serba hitam.. kenal allah dgn allah tu cam mana ? dan cam mana nak capai fana tu? dan cam mana nak mohon dgn allah sbb yg sy paham dlm penulisan tuan hanya allah yg boleh mohon dengan allah? mcm tu ka..?

  51. bob says:

    subhanallah … emang berkesan karangan diatas.. thk buat penulis

  52. nakhlah says:

    terima kasih artikel tuan…artikel ini benar2 menyentuh krn apa yg dilalui oleh Raja Muzaffar, hampir sama spt yg sy telah lalui. bezanya cuma..raja muzaffar bertemu Syeihk Abdullah sblm org tua…ttpi dlm hidup sy, sy bertemu ‘org tua’ sblm ‘syeikh abdullah’ shngga sy menyangka sy tersalah. selama bertahun2 sy berpegang bhw Allah berada di mana2 dan tiada apa yg wujud di alam ini…apa yg dilihat, apa dirasa dan apa2 shj yg dirasakan yg wujudnya ia dibuktikan melalui perantara pancaindera dan reseptor ini…smua itu tidak WUJUD…SEGALA2NYA TIDAK WUJUD MELAINKAN ALLAH.

    sehinggalah…sy bertemu dgn seorg guru, mengajarkan kepada kami…i’tiqad Allah berada di mana2 atau berada di satu tempat adalah SALAH dan KUFUR. sy sgt terkejut dan ditebak perasaan takut, bersalah, bodoh, & segala2nya krn mengetahui rupanya selama ini sy beri’tiqad dgn fahaman yg salah. dan akhirnya sy MENAFIKAN DAN MEMBATALKAN SCR MUTLAK kefahaman sy ttg Allah berada di mana2 spt sblmnya. (tapi jujur sy katakan, perasaan ketika sy tau Allah berada di mana2 x sama ketika sy mendapat kfhmn yg baru ini. jk dahulu, sy rasa stp masa sy merasa teruja…persepsi sy terhadapa alam ini berubah 100%).

    dan, hari ini…sy merasa sy ‘mengenal’ semula Allah…sy menukilkan di sini utk mnyatakn ucapan terima kasih kpd tuan blogger atas artikel ini yg mmberikan pndedahan ini…artikel ini mmberi pndedahan ilmiah kpd sy..perbezaan ilmu kalam, ilmu hakikat dan ilmu makrifat.. kebenaran itu sntiasa dgn ketenangan dan inilah apa yg sy rasakan skrg. tiada kalimah lain mmpu sy ucapkan melainkan ALHAMDULILLAH, SUBHANALLAH…brharap moga Allah berikan hikmah, hidayah dan taufiq dlm mencari ilmu yang bnar dan yaqin.

    tinggal lagi skrg…sy belum ‘menemuiNya’ dan moga Allah sudi membawa sy menemuiNya. moga Allah berikan rahmat dan mengizinkan untuk menemuinya. krn sy sndiri x pasti adakah sy sudah bertemu dgn’pengembala’ itu????

    apapun, sy bnr2 bersyukur dan berterima kasih kpd SMUA GURU yg pernah mengajarkanku tidak kira kamu adalah ‘ibu’@’syekh abdullah’@’org tua’…krn kalian sudah dan telah mnjdi sbhgn daripada kmbaraku mncari Tuhan. dan kini aku msti mencari ‘pengembala’ itu yg satu hari nnti pasti aku akan temui..INSYA-ALLAH!! Allahumma istajib du’a-i. krn Engkau Maha Mendengar dan berada dalam diriku….Amin ya Rabb…

Leave a Reply

*