Tawhid

Tawhid

Ketahuilah, Allah itu zatNya esa oleh kerana itu pasti sifat dan af’alNya jua esa kerana sifat dan af’alNya itu terbit dari zatNya. Sifat itu kelakuan bagi zat dan af’al itu perbuatan bagi zat maka disini yang ditilik adalah zat Wajibul Wujud yang bernama Allah. Allah itu adalah semata-mata asma’ bagi zat Wajibul Wujud oleh kerana itu janganlah sembah Allah kerana ianya hanya sekadar nama yang tiada ain wujud dan hanya sebagai khabar bagi memperkenalkan zat Wajibul Wujud. Matlamat penyembahan itu adalah tertuju kepada zat Wajibul Wujud dan bukan kepada asma’ bagi zat Wajibul Wujud. Namun jika setelah difahami bahawa zat Wajibul Wujud itulah tempat tujuan penyembahan dan Ia memperkenalkan diriNya sebagai bernama Allah maka tiadalah salahnya mengatakan “aku sembah Allah” bahkan wajib.

Kemudian, zat Wajibul Wujud inilah yang hendak di-tawhid-kan dan di-u’raf-i yakni diesakan dan dikenali. Makanya yang pertama-tama wajib diketahui ialah bagaimanakah esanya af’al, asma’, sifat dan zat bagi zat Wajibul Wujud dan yang keduanya wajib mengetahui hikmah hakikat kejadian alam ini khususnya kejadian manusia sebagai penyempurnaan tawhid yakni ma’rifatullah kerana Ihsan tidak akan dapat dimengertikan tanpa tawhid dan ma’rifatullah. Tawhid itu tentang ‘iktiqad’ bahawa zat Wajibul Wujud adalah ESA manakala ma’rifatullah itu tentang ‘merasai’ ESAnya zat Wajibul Wujud. Amat besar jurangnya antara tawhid dan ma’rifatullah kerana tawhid itu bangsa ilmu yang akhirnya menjadi pengesah iktiqad bagi kita untuk ditasdiq dalam sesaat manakala ma’rifatullah itu bangsa rasa yang akhirnya menjadi amalan bagi kita untuk dipakai setiap saat. Kedua-duanya ibarat nyawa dengan roh atau semisal laut dengan ombak atau seumpama matahari dengan sinarnya yang saling tidak dapat dipisahkan.

Beruntunglah pada sesiapa yang telah dibukakan baginya dengan hidayahNya akan ilmu Tawhid dan ilmu Ma’rifatullah kerana mertabat kedua-dua ilmu ini adalah ilmu yang paling teratas dan paling terutama disisi Allah ta’ala dan disisi agama Islam berbanding ilmu-ilmu lain yang ada diatas muka bumi ini. Inilah ilmu yang dihukumkan sebagai Fardhu Ain untuk mempelajarinya kerana himpunan kedua-dua ilmu ini akan membuahkan Ihsan dan sebagaimana yang telah tersedia maklum, Ihsan itu adalah salah satu daripada rukun agama yang tiga iaitu Islam, Iman dan Ihsan malah menyertakan Ihsan dalam setiap ibadah adalah wajib bahkan jika tiada Ihsan maka sesuatu ibadah itu sesekali tidak akan diterima Allah ta’ala.

TAWHID

Zat Wajibul Wujud itu tiada satu pun makhluk yang tahu bagaimanakah rupaNya, bentukNya dan warnaNya yang hakiki bahkan zat Wajibul wujud itu maha suci daripada digambar dengan berupa, berbentuk dan berwarna. Apa yang wajib kita ketahui ialah zat Wajibul Wujud itu wujudNya bersifat Salbiyah yakni qidam, baqo’, mukholafatuhu lilhawadith, qiamuhu binafsihi dan wahdaniyah.

Zat Wajibul Wujud itu wujudNya tiada permulaan, tiada beribu, tiada berbapa dan tiada yang menjadikanNya bahkan wujudNya sedia ada tunggal tanpa ada wujud sesuatu terdahulu daripadaNya. WujudNya sesekali tidak akan menerima binasa, sesekali tidak akan menerima mati apatah lagi diakhiri dengan tiada selama-lamanya. WujudNya bersalah-salahan dengan sesuatu selainNya yakni tiada berbentuk, tiada berupa, tiada berwarna, tiada berbau, tidak didalam sesuatu, tidak diluar sesuatu, tidak berjisim, bukan jenis jirim malah langsung tidak boleh disamakan dengan makhluk. WujudNya bersendirian tanpa sesuatu menemaniNya, tanpa berhajat kepada sesuatu, tanpa berharap pada sesuatu, tanpa bergantungan kepada sesuatu malah wujudNya tidak berdiri atas sesuatu. WujudNya esa lagi tunggal maka dengan itu sifat dan af’alNya juga esa lagi tunggal tanpa ada tandingan dan tanpa ada sekutu. WujudNya meliputi segala sesuatu oleh kerana itu dimana sahaja dihadap disitulah wujud Dia kerana Dialah yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin. Demikianlah khabar tentang kewujudan zat Wajibul Wujud yang laitha kamithlihi syai’un itu.

Tiada satu pun zat selain zat Wajibul Wujud yang wujudnya bersifat qidam, baqo’, mukholafatuhu lilhawadith, qiamuhu binafsihi dan wahdaniyah. Jika diiktiqadkan yang demikian itu sebagai ada maka ternafilah zat Wajibul Wujud itu sebagai esa lagi tunggal lagi bersendirian maka terjadi berbilang-bilanglah zat Wajibul Wujud ketika itu. Mengiktiqadkan ada sesuatu zat yang bersamaan sifat Salbiyahnya dengan zat Wajibul Wujud maka inilah yang dinamakan sebagai syirik yakni menduakan zatNya dengan sesuatu.

Kemudian tentang sifat kesempurnaanNya yakni sifat Ma’ni maka zat Wajibul Wujud itu wajib bersifat qudrat, iradat, ilmu, hayyat, sama’, basyar dan kalam. Zat Wajibul Wujud itu berkuasa maka zat Wajibul Wujud itu berupaya untuk mengadakan dan meniadakan segala sesuatu secara bersendirian tanpa menjadi lemah. Zat Wajibul Wujud itu berkehendak maka Dia mutlak untuk menentukan segala sesuatu secara bersendirian tanpa desakan dan tanpa kelalaian. Zat Wajibul Wujud itu berilmu maka Dia mengetahui segala sesuatu sama ada yang tersembunyi apatah lagi yang nyata dan yang telah ada apatah lagi yang tersembunyi dalam pengetahuanNya tanpa kebodohan yang melazimiNya. Zat Wajibul Wujud itu berpenghidupan maka Dia ada pada setiap masa bersendirian tanpa mengantuk, tertidur mahu pun mati. Zat Wajibul Wujud itu berpendengaran, berpenglihatan serta bertuturan maka Dia mendengar dan melihat segala sesuatu tanpa halangan dan tanpa terbatas, Dia menjelaskan segala sesuatu dengan kata-kataNya tanpa kelu dan tanpa bisu.

Tiada satu pun zat selain zat Wajibul Wujud yang wujudnya bersifat qudrat, iradat, ilmu, hayyat, sama’, basyar dan kalam. Jika diiktiqadkan yang demikian itu sebagai ada maka ternafilah zat Wajibul Wujud itu sebagai esa lagi tunggal lagi bersendirian sebagai empunya qudrat, iradat, ilmu, hayyat, sama’, basyar dan kalam maka menjadi berbilang-bilanglah sekelian sifat Ma’ni itu. Mengiktiqadkan ada sesuatu zat yang bersamaan sifat Ma’ninya dengan zat Wajibul Wujud maka inilah juga yang dinamakan  sebagai syirik yakni menyamakan sifatNya dengan sesuatu.

Seterusnya tentang sifat Ma’nawiyyahNya maka zat Wajibul Wujud itu wajib bersifat qodirun, muridun, ‘alimun, hayyun, sami’un, basyirun dan mutakalimun. Zat Wajibul Wujud itu berkuasa maka Dia kekal didalam keadaan berupaya mengadakan dan meniadakan segala sesuatu tanpa lemah oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan berkuasa sedangkan yang lain selainNya adalah mutlak lemah. Zat Wajibul Wujud itu berkehendak maka Dia kekal didalam keadaan menentukan segala sesuatu tanpa desakan, tanpa kelalaian dan tanpa kecuaian oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan menentu, merencana dan merancang segala sesuatu sedangkan yang lain selainNya adalah mutlak terikat dengan aturanNya. Zat Wajibul Wujud itu berilmu maka Dia kekal didalam keadaan memaklumi segala sesuatu tanpa tidak tahu oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan mengetahui sedangkan yang lain selainNya adalah mutlak jahil. Zat Wajibul Wujud itu berpenghidupan maka Dia selama-lamanya dalam keadaan hidup tanpa berkesudahan dengan kematian oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan hidup sedang yang lain selainNya mutlak mati. Zat Wajibul Wujud itu berpendengaran maka Dia kekal didalam keadaan tiada batasan mendengar tanpa menjadi pekak oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan mendengar sedang yang lain selainNya mutlak pekak. Zat Wajibul Wujud itu berpenglihatan maka Dia kekal didalam keadaan tiada batasan melihat tanpa menjadi buta oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan melihat sedang yang lain selainNya mutlak buta. Zat Wajibul Wujud itu bertutur maka Dia kekal dalam keadaan menjelaskan dan menerangkan segala sesuatu tanpa membisu oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan bertutur tanpa bisu.

Jelas, zat Wajibul Wujud itu bersifat Salbiyah, Ma’ni dan Ma’nawiyyah maka dengan itu hanya Dia sahajalah yang memperbuat segala sesuatu dengan af’alNya sendiri kerana af’al itu wajib berlangsung dengan qudrat dan iradat. Hanya zat Wajibul Wujud sahajalah yang secara tunggalnya menjadikan sesuatu dan sesuatu itu Dia jugalah yang mengerakdiamkannya. Zat Wajibul Wujud itu menjadikan tujuh petala langit dengan af’alNya, menjadikan tujuh petala bumi dengan af’alNya malah pendek kata dengan af’alNya itu jugalah dijadikan seluruh alam semesta raya ini dan menggerakdiamkannya tanpa ada sekelumit pun pada sesuatu itu usaha dan ikhtiarnya sendiri.

Tiada satu pun zat selain zat Wajibul Wujud yang wujudnya ber-af’al. Jika diiktiqadkan yang demikian itu sebagai ada maka ternafilah zat Wajibul Wujud itu sebagai esa lagi tunggal lagi bersendirian sebagai empunya af’al maka menjadi berbilang-bilanglah sekelian af’al itu. Mengiktiqadkan ada sesuatu zat yang bersamaan af’alnya dengan zat Wajibul Wujud maka inilah juga yang dinamakan  sebagai syirik yakni menyengutukan af’alNya dengan sesuatu.

Menduakan zat, menyamakan sifat dan mempersekutukan af’al zat Wajibul wujud dengan sesuatu adalah syirik, bahkan disisiNya syirik itu bersamaan tarafnya dengan taraf najis disisi kita. Begitu hina, keji dan jeleknya najis maka sehina, sekeji dan sejelek itu jugalah manusia-manusia yang musyrik pada pandanganNya. Manusia-manusia yang musyrik itu adalah apabila ia mengiktiqadkan bahawa dirinya wujud setandingan zat Wajibul Wujud, dirinya mempunyai sifat Ma’ni setandingan zat Wajibul Wujud dan mempunyai af’al setandingan zat Wajibul Wujud. Sebenar-benarnya makhluk itu tiada pun wujudnya, tiada pun sifat Ma’ninya dan tiada pun af’alnya. Oleh kerana itulah sekelian makhluk pada tabiatnya dan pada upayanya yang terzahir pada tindak-tanduk dan kelakuan zatnya pada hakikatnya tidak sekali-kali boleh mendatangkan bekas pada menghasilkan manfaat dan mudarat.

17 Responsesto “Tawhid”

  1. KhAiRuL says:

    Salam wahai tuan guru,

    Saya tampilkan terdahulu petikan dari penjelasan tuan berkenaan Tawhid : ” Jelas, zat Wajibul Wujud itu bersifat Salbiyah, Ma’ni dan Ma’nawiyyah maka dengan itu hanya Dia sahajalah yang memperbuat segala sesuatu dengan af’alNya sendiri kerana af’al itu wajib berlangsung dengan qudrat dan iradat. Hanya zat Wajibul Wujud sahajalah yang secara tunggalnya menjadikan sesuatu dan sesuatu itu Dia jugalah yang mengerakdiamkannya. Zat Wajibul Wujud itu menjadikan tujuh petala langit dengan af’alNya, menjadikan tujuh petala bumi dengan af’alNya malah pendek kata dengan af’alNya itu jugalah dijadikan seluruh alam semesta raya ini dan menggerakdiamkannya tanpa ada sekelumit pun pada sesuatu itu usaha dan ikhtiarnya sendiri.

    Tiada satu pun zat selain zat Wajibul Wujud yang wujudnya ber-af’al. Jika diiktiqadkan yang demikian itu sebagai ada maka ternafilah zat Wajibul Wujud itu sebagai esa lagi tunggal lagi bersendirian sebagai empunya af’al maka menjadi berbilang-bilanglah sekelian af’al itu. Mengiktiqadkan ada sesuatu zat yang bersamaan af’alnya dengan zat Wajibul Wujud maka inilah juga yang dinamakan sebagai syirik yakni menyengutukan af’alNya dengan sesuatu.”

    Persoalannya : Disini saya tampilkan pula beberapa ayat yang menerangkan tentang usaha, perbuatan dan ikhtiar manusia :

    “Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” (Yunus (10) : 44)

    “Maka masing-masing (mereka itu) Kami siksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. ” (Al Ankabuut (29) : 40)

    “Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” (Asy Syuura (42) : 30)

    “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarrah, dan jika ada kebaikan sebesar zarrah, niscahya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar” (An Nisaa’ (4S) : 40)
    “Telah tampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan – tangan manusia, supaya Allah menimpakan kepada mereka sebagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. (. Ar-Rum (30) : 41)
    “Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan (nasib) sesuatu bangsa sehingga bangsa itu mahu merubah keadaan (nasib) mereka sendiri (Ar Ra’ad : 11)

    “Apa saja nikmat yang kamu perolehi adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri. (An Nisa’: 79)
    “Barangsiapa mengerjakan perbuatan baik maka kebaikannya adalah untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang mengerjakan perbuatan buruk maka keburukannya akan menimpa pada dirinya sendiri pula, kemudian kepada Tuhanmulah kamu akan kembali.” (Al Jasiyah : 15)

    “Bila kamu semua berbuat baik, maka bererti kamulah berbuat kebaikan untuk dirimu sendiri, dan bila kamu berbuat buruk, maka keburukan itu bererti untuk dirimu sendiri.” (Al Isra’ : 7)
    “Dan Allah Telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezkinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; Karena itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.” (An-Nahl, 16 : 112)

    Maka wahai tuan guru, didalam disiplin amalan Tauhidul Afa’al, macam mana sepatutnya kita beriman dengan ayat2 diatas disamping musyahadah kepada maksud “Lahaw lawala..”.. Lebih menarik jika tuan boleh terangkan pada peringkat mubtadi, mutawwasit dan juga muntahi…

    Mohon pencerahan… Terima kasih… wassallam….

  2. sarip dol says:

    sdr khairul..

    bagaimanalah saya nak jawab soalan sdr ni kat sini. kalau nak jawab dalam peraturan mubtadi (ilmu Kalam) bolehlah tapi dalam peraturan mutawasit (Tasawuf Tareqat) dan muntahi (Tasawuf Hakikat) agak mustahil. kenapa saya katakan mustahil, sebabnya nak fahamkan tawhid af’al pada sudut mutawasit dan muntahi perlu pada seseorang itu telah terbuka ainul basyirohnya terlebih dahulu. nak dapatkan ainul basyiroh yang tepat pula wajib berguru dan disahkan dahulu oleh guru dapatan ainul basyirohnya itu.

    pengunjung diblog ini mungkin kebanyakkannya adalah orang awam yang masih menilai sesuatu dengan akal semata-mata maka kalau saya dedahkan tawhid af’al pada sudut mutawasit atau muntahi pasti akan ada yang menunduh saya sebagai sesat. Sementelah, saya ujudkan blog ni bukannya bertujuan sebagai wadah untuk mengajar ilmu-ilmu Tasawuf sebaliknya hanya sekadar pencetus rasa untuk bertasawuf dan seterusnya mencari guru-guru Tasawuf diluar sana untuk berguru.

    baiklah, saya akan jawab soalan sdr berkait tawhid af’al pada sudut mubtadi saja.

    Menurut tawhid aliran ilmu Kalam, nak mengesakan af’al Allah adalah dengan menafikan kam muttasil yakni tiada sesuatu pun selain Allah yang ber’af’al seperti Allah. Af’al bermaksud perbuatan dan setiap yang berupaya berbuat sesuatu wajib berdiri sifat qudrat padanya. Makhluk tiada qudrat yang membolehkannya berbuat sesuatu dengan sendiri. Oleh itu gerakdiam yang berlaku pada makhluk bukanlah disebabkan qudrat yang ada pada makhluk sebaliknya gerakdiam yang berlaku pada makhluk digerakkan oleh Allah dengan af’alNya. Makanya dari sinilah kefahaman la hawla wala quwata illa billah terbentuk. Jadi perbuatan yang bersifat baik dan buruk yang dilakukan oleh manusia diatas muka bumi ini adalah kelangsungan dari af’al Allah pada hakikatnya.

    Adapun kecaman Allah terhadap manusia didalam alQuran adalah merujuk kepada kecaman terhadap kesedaran manusia itu sendiri yang memang menyengajakan niat untuk melakukan sesuatu kerosakkan atau perancangan. Maka dari sinilah dinilai dosa pahala atas manusia. Dosa dan pahala adalah dinilai pada kesedaran niat menyengajakan sesuatu oleh manusia itu sendiri yang diistilahkan sebagai al Kasbu. Allah menggerakkan manusia sesuai dengan niatnya masing-masing dan Allah membalasi manusia sesuai dengan niat manusia masing-masing. Oleh itu kerjakanlah sesuatu sesuai dengan hukum dan peraturan yang ditetapkan Allah.

  3. KhAiRuL says:

    Salam kembali tuan guru,

    Terima kasih atas penjelasan tuan…Saya ingin tambahkan sikit pertanyaan yg masih lagi berkitar pada pesoalan hakikat Afa’al Allah yang berdiri diatas kesempurnaan sifat QudratNya… Dimana atau bagaimanakah kedudukan yang sebenarnya takluk Usaha dan Ikhtiar Insan..? Jika kesedaran niat menyengajakan sesuatu oleh manusia itu sendiri yang diistilahkan sebagai al Kasbu, dan Allah menggerakkan manusia sesuai dengan niatnya masing-masing; dimana seterusnya Allah membalasi manusia sesuai dengan niat manusia masing-masing; ia seakan-akan menunjukkan bahawasanya Insan ada pada mereka “kuasa niat” dan “kuasa memilih”… kalau begitu, bagaimana hendak kita menTauhidkan Allah pada sifat IradahNya..?

    Mohon pencerahan dari tuan… terima kasih.. Wassallam..

  4. sarip dol says:

    1. Dimana atau bagaimanakah kedudukan yang sebenarnya takluk Usaha dan Ikhtiar Insan..?

    Jawapan: apabila ia menyengajakan sesuatu pekerjaan yang pada hakikatnya pekerjaan itu tidak dapat memberi bekas dengan usaha dan ikhtiyarnya.

    2. Jika kesedaran niat menyengajakan sesuatu oleh manusia itu sendiri yang diistilahkan sebagai al Kasbu, dan Allah menggerakkan manusia sesuai dengan niatnya masing-masing; dimana seterusnya Allah membalasi manusia sesuai dengan niat manusia masing-masing; ia seakan-akan menunjukkan bahawasanya Insan ada pada mereka “kuasa niat” dan “kuasa memilih”… kalau begitu, bagaimana hendak kita menTauhidkan Allah pada sifat IradahNya..?

    Jawapan: menurut alQuran, manusia memang boleh membuat pilihan dan Allah mewajibkan manusia memilih jalan Taqwa berbanding jalan Kufur. maka manusia akan dibalasi sesuai dengan pilihannya itu.

    mentawhidkan sifat Iradah Allah bermaksud menafikan ada sesuatu selain Allah yang mempunyai sifat Iradah sepertiNya. perhatikan.. adakah iradah kita sama dengan iradah Allah. tertunaikah setiap keinginan kita sebagaimana tertunainya setiap keinginan Allah? makanya tiada sesuatu selain Allah yang bersifat iradah sepertiNya.

  5. zam says:

    Cuma ingin berkongsi erti tauhid, iaitu membersihkan AHADIAH ALLAH drpd BILANGAN dan membersihkan WAHIDIAH ALLAH drpd yg berbilang -bilang.

    Allah adalah Ahad drpd segi Zat, dan Dia adalah Wahid drpd segi sifat. tanda tauhid itu ada pd kita sendiri. Cuba lihat pada cop jari kita, adakah dia adalah bilangan. tentu tidak dia bukan satu, bukan dua atau tiga.

    Allah juga wahid drpd segi sifatnya…Allah mempunyai Asmaul Husna…ya memang boleh dibilang…99 bukan???(100 kurang satu)..tapi yg mempunyainya cuma satu…..ALLAH sahaja yg mempunyai nya.

    kebanyakan org yg tak mau berguru dgm Wali mursyid biasanya mudah jatuh kedalah lembah ilhad..iaitu yg menyamakan antara WAHID dan AHAD.
    Allah telah berfirman “Wa dzarullaziina yulhiduuna fii asmaaihi”….
    Dan hindarilah Awhaaluttauhidd….(Hulul,Itthad,Tasybih, Ta’til)

    Diharap yg membaca lebih memahami drpd saya yg menulis……

  6. kura-kura says:

    sekadar pendapat mencelah dari si kura-kura je..allah jadikan sesuatu berpasang pasang,maka zahir berpasangan dengan batin..cerita zahir,sesuai dengan jalan penceritaan yang zahir manakala cerita batin sesuai dengan jalan penceritaan yang batinnya..apabila terzahirnya manusia di bumi ini, maka jalan penceritaannya seolah-olah manusialah yang menjalani penghidupan ini dan manusia sendirilah yang berkehendak mengurus kehidupan mereka sehari hari melalui panduan lengkap di dalam alquran mengandungi perintah, larangan,hukuman tauladan,amaran,peringatan dan segala perkara yang mencakupi setiap aspek kegiatan manusia khususnya..di sinilah terbitnya cerita kehendak dan niat manusia itu bersesuaian dengan peraturan zahirnya di dunia yang zahir juga..namun penceritaan batinnya..melalui ayat ayat kiasan sesuai dengan jalan penceritaan batinnya..kerana begitulah lumrahnya..yang zahir itu nyata dan yang batin (ghaib/hakikat) itu tersembunyi..innafii zaalika la aayaatil liqaumiy yatafakkaruun..wallaahu a’lam..dan baik sekali kita mengetahui tentang zahir dan batin itu dengan berfikir lalu mencari..dan merujuk kepada yang ahli lagi arif lagi mursyid..mungkin baru kita akan mengerti setelah merasainya sendiri..mungkin baru kita akan mengerti akan lumrahnya yang zahir itu kita nyatakan..dan yang batin itu kita sembunyikan..apa komen atau kritikan tuan tuan semua..saya kura-kura sedia menerima..

  7. sebatangkara says:

    Assalamualaikum.. sdr Sarip dol.
    Sudah lama saya tak berkunjung ke pondok anda ini, bila saya singgah di sini tampaknya perdebatan semakin panas ja tentang tauhid af’al Allah, ini adalah sesuatu yang baik sekali walaupun cara memandangnya yang berlainan. dimana sdr khairul memandang cahaya adalah dari bulan dan matahari, tapi sdr sarip dol memandang cahaya pada sumber cahaya dari matahari dan bulan itu. kalau bagi saya pandangnya sama dengan syech siti jenar. bila siti jenar dipangil orang dia menjawab bahwa siti jenar tidak ada, dia kata yang ada hanya yang sejati.

  8. eden says:

    Allah itu ujud…ada
    Apa buktinya Allah itu ujud?

  9. zam says:

    Allah itu Al Waajid…..Saidina Rasulullah S.A.W itu Wihdatul Wujud, segala makhluk lain adalah Maujud….perumpamaan Wihdatul Wujud itu ialah bagaikan GANDUM yg merupakan Wihdatul Wujud antara Tukang Roti dan hasil masakannya spt Roti pita,roti croissant dan lain…..

  10. Ismail says:

    Salam,

    Af’al Allah Taala nyata pada insan, maka berbuatlah insan akan perbuatan Allah Taala.

    Kerna itu Allah menyatakan bahawa Dia lah yg menciptakan insan dan perbuatannya.

    Yang dituntut dari insan adalah penyaksian ini: Siapa yg hidup? Aku atau engkau? Siapa yg mematikan? Aku atau engkau? Maka dinamakannya syahadah atau syuhud.

    Penyaksian ini adalah dituntut dari kesedaran jiwa insan itu. Kesedaran insan ini adalah bebas untuk memilih samada mengesakan Allah Taala pd diri dan alamnya ataupun sebaliknya.

    Namun sebelum memilih, insan itu diberi ilham akan jawaban yg benar dan salah. Disitulah keadilan yg berlaku terhadap syuhud tersebut.

    Namun bagi hamba-hamba muntahi, semua ilham, hal, iradat, qudrat dan af’al adalah haq Allah Taala semata-mata. Insan sebegini menjadi dalil kpd wujud Allah Taala yg madlul.

    Bagi org kebanyakan, mereka menyangka ilmu Allah Taala ini adalah serupa bagi semua orang. Tetapi hakikatnya, ilmu Nya bertingkat-tingkat, tiada batasan.

    Allah telah memberi contoh dan perumpamaan yg banyak dari kelakuan alam semulajadi. Bukalah mata dan lapangkan dada untuk berguru dgn alam semesta.

    Contohnya didalam Surah Al-Mulk, Allah bertanya siapa yg mengangkat burung yg terbang di udara. Itu adalah isyarat yg jelas. Kelihatan burung itu mengibaskan sayapnya di udara sebagai ikhtiar terbangnya. tetapi hakikatnya, Allah Taala yg mengangkatnya di udara.

    Tambahan sedikit: Insan tidak boleh memberi kehidupan atau mengambil sebarang nyawa kerana hakikatnya Allah Taala yg menghidup dan mematikan. Maka bukan insan yg membunuh, tetapi Allah Taala yg mematikan.

    Aqal insan itu berguna jika ilmu yg disalurkan kpdnya adalah benar.

  11. kd says:

    sirusir

  12. qalam says:

    “Kemudian tentang sifat kesempurnaanNya yakni sifat Ma’ni maka zat Wajibul Wujud itu wajib bersifat qudrat, iradat, ilmu, hayyat, sama’, basyar dan kalam”.

    kalau ikut susunan ilmu yang betul, sifat kesempurnaanNya itu bukanlah hanya dinisbahkan pada sifat Ma’ni sahaja.

    “kalau nak jawab dalam peraturan mubtadi (ilmu Kalam) bolehlah tapi dalam peraturan mutawasit (Tasawuf Tareqat) dan muntahi (Tasawuf Hakikat) agak mustahil”.

    saya tidak faham bagaimana tuan menetapkan mubtadi itu ilmu kalam, tareqat itu mutawasit dan hakikat itu muntahi. Rasanya tuan lebih arif menerangkan yang sedemikian untuk fahaman kami disini.

  13. sarip dol says:

    1. Pertanyaan sdr qalam: kalau ikut susunan ilmu yang betul, sifat kesempurnaanNya itu bukanlah hanya dinisbahkan pada sifat Ma’ni sahaja.

    JAWAPAN
    Saya mengistilahkan sifat Ma’ni sebagai sifat kesempurnaan Allah adalah kerana perkataan Ma’ni itu sendiri secara khusus merujuk kepada hal keadaan diri Allah dan pasti ianya adalah sifat-sifatNya yang sempurna kerana sifat-sifat itu hakikatnya berdiri pada ketunggalan wujudNya yang sempurna. Sudah tentu sifat Ma’ni Allah itu bukan sekadar qudrat, iradat, ilmu, hayat, sama’, basyar dan kalam cuma ianya telah dijadikan sebahagian dari silibus ilmu Kalam aliran Asy’ariyah yang telah diskemakan. Hakikatnya, hanya Allah sahajalah yang tahu jumlah sifat-sifat Ma’niNya yang sebenar.

    2. Pertanyaan sdr qalam: saya tidak faham bagaimana tuan menetapkan mubtadi itu ilmu kalam, tareqat itu mutawasit dan hakikat itu muntahi. Rasanya tuan lebih arif menerangkan yang sedemikian untuk fahaman kami disini.

    JAWAPAN
    Sebenarnya penetapan yang sebegitu bukanlah dari saya sebaliknya ianya ditetapkan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumudin. Sdr tela’ahlah kitab tersebut kerana sdr pasti akan ketemu dengan apa yang saya tulis diatas.

    wasalam.

  14. hina lagi fakir says:

    apa beza ahad dngn wahid.(ahdah dngn wahdah)

  15. hina lagi fakir says:

    wahai manusia yg bijak sn,di mana ulamak zaman skrng,adakh mrka msh ada?

  16. TARIQ says:

    ASSALAMUALAIKUM SYEIKH..

    JIKA DATANG KE BACHOK,KELANTAN,,
    JEMPUT KE RUMAH ANA,,
    0193280339..

  17. hina lagi fakir says:

    Buah salak buah kendondong,buah berangan di dalam baldi,bukan nasib tidak beruntung,salah diri tak mrngenal diri

Leave a Reply