PEWARIS IBU LAYANGAN – Fitnah Dajjal

PEWARIS IBU LAYANGAN – Fitnah Dajjal

Munawir tergesa-gesa berlari. Calar-balar lengannya akibat meranduk belukar tidak dihiraukannya. Bukannya tiada denai tetapi jalan yang diikutinya sekarang inilah jalan yang singkat untuk ke rumah mursyidnya. Sanggup beliau tidak memperlahankan langkahnya semata-mata untuk segera menyampaikan berita yang beliau saksikan sendiri dengan mata kepalanya. Dalam hatinya bergelora rasa geram bercampur sedih tatkala beliau sendiri menyaksikan bagaimana teman seperguruannya masuk ke dalam perangkap Iblis laknatullah. Baginya, Maulana Mufrad adalah dajjal.

 Kusut benaknya tatkala memikirkan bagaimanakah sahabat seperguruannya Umar Hidayat yakni salah seorang pemuda yang paling alim dikalangan anak murid mursyidnya dapat diperdaya oleh Maulana Mufrad dengan begitu mudah sedangkan beliau sudah diperturunkan dengan amalan Sepohon Jadi yang dapat mengatasi sekelian jenis permainan ilmu hitam. Nampaknya benarlah kata-kata Ustaz Sarman tatkala beliau menceritakan tentang keperibadian Maulana Mufrad. Masih segar difikiran Munawir kata-kata Ustaz Sarman ketika bersua dengannya dimajlis muzakarah tempoh hari bahawa Maulana Mufrad menguasai sebilangan besar makhluk-makhluk dari alam kegelapan termasuk golongan jin dari bangsa Ufrayad dan lantas dengan itu Maulana Mufrad mudah melakukan sihir. Walaupun belum pernah bertemu empat mata dengan Maulana Mufrad namun keakraban Ustaz Sarman dengan mursyid mereka membuatkan sedikit sebanyak beliau disampaikan berita-berita rahsia tentang kesaktian dan kehebatan sihir Maulana Mufrad.

 “Ah.. sudah tentu Umar Hidayat dikuasai Ufrayad!!”. Getus hati Munawir.

 Sedar-sedar, Munawir sudah sampai dihalaman rumah mursyidnya. Tercungap-cungap beliau mengambil nafas. Matanya terus menumpu kearah kaki tangga dan mendapati lima pasang sepatu tersusun rapi dan dengan itu beliau dapat mengagak siapa yang ada didalam rumah mursyidnya itu.

********

Syeikh Saidi Soleh kelihatan tergamam  mendengar berita yang dibawa Munawir namun seketika kemudian riak tenang kembali terukir pada wajah mursyid tua itu.

 “Kita sudah tidak boleh berlembut lagi Syeikh.. sudah sampai waktunya kita bertindak. Ajaran songsang yang dibawa Maulana Mufrad sudah merebak dan sekarang Umar Hidayat pun dapat disesatkannya!”.  Bentak Hj. Lokman.

 Bersemangat sekali Hj. Lokman melontarkan kata-kata itu, manakan tidak, selaku orang kanan yang telah berdamping dengan Syeikh Saidi Soleh selama bertahun-tahun pastilah hati beliau tersinggung apabila Maulana Mufrad pernah mendakwa jalan ketuhanan yang dibawa Syeikh Saidi Soleh itu tidak betul. Hakikatnya Hj. Lokman kenal benar siapa sebenarnya Maulana Mufrad kerana Maulana Mufrad pada satu ketika dahulu adalah murid kepada Syeikh Saidi Soleh.

 Masih segar diingatan Hj. Lokman betapa Maulana Mufrad pada suatu ketika dulu adalah seorang murid yang soleh lagi taat. Kemampuan berfikir beliau sangat cerdas hingga dapat menghadam ilmu-ilmu hakikat yang diajarkan kepada beliau dengan cepat sehingga menjadi murid kesayangan Syeikh Saidi Soleh dan menjadi sahabat rapat Hj. Lokman. Maulana Mufrad telah menjadi diantara murid harapan sehingga pada satu tahap Syeikh Saidi Soleh telah mengangkat beliau ke taraf mursyid. Namun setelah setahun berlalu aqidah Maulana Mufrad mulai berubah. Menurut hemat Hj. Lokman, Maulana Mufrad telah ‘gelap mata’ setelah mempunyai anak murid yang ramai. Pada pandangannya, jalan yang dibawa Maulana Mufrad betul-betul jauh terpesong dari apa yang pernah diajarkan Syeikh Saidi Soleh.

 “Ayuh kita bunuh Maulana Mufrad dan biarlah saya yang melakukannya.” Ujar Ustaz Sarman menyambut kata-kata Hj. Lokman. Munawir juga mengangguk-anggukkan kepalanya sebagai tanda sokongan padu diatas usul Ustaz Sarman. Kedua-dua wakil khalifah kepada Syeikh Saidi Soleh, Pak Ngah Karim dan Lebai Satim yang turut berada didalam rumah itu, juga turut bersetuju.

 ********

Perlahan-lahan Ustaz Sarman mengatur langkah keluar dari pintu rumahnya seraya melalui deretan jamong yang menerangi sebahagian halaman rumahya. Kali ini beliau berpakaian tidak berjubah putih dan berserban seperti biasa. Munawir yang sedari tadi menunggu Ustaz Sarman dilaman rumah terkesima melihat keterampilan Ustaz Sarman yang kelihatan gagah. Sudah dua purnama Munawir mengenali Ustaz Sarman semenjak Ustaz Sarman mula berguru dengan Syeikh Saidi Soleh namun belum pernah Munawir melihat Ustaz Sarman lengkap berpakaian silat berwarna hitam dan bersampinkan kain batik berwarna merah seperti sekarang walaupun beliau maklum Ustaz Sarman ada membuka gelanggang silat dipenjuru halaman rumah Syeikh Saidi Soleh.

 Dengan langkah yang tersusun Ustaz Sarman menuju ke tengah halaman. Ditenungnya secebis kain batik berwarna merah yang ada digenggaman tangan kanannya dalam-dalam dan entah kenapa airmata tiba-tiba bergenang dipelupuk matanya seolah-olah fikirannya sedang mengenangkan sesuatu. Setelah menghela nafas, perlahan-lahan beliau melilit kepalanya dengan kain batik merah itu. Kemudian dari itu, agak jelas Munawir mendengar Ustaz Sarman membaca sepotong ayat Al Quran yang berbunyi, “Rabbi adkhilni mudkhola sidq, wa akhrijni mukhroja sidq, waja’alni milladunka sulthonan nasiro…” dan sempat diaminkan Munawir.

Terus saja beliau membuka langkah betina dan bertari silat berkuda-kuda paras. Ditepuk pehanya sambil tangan kiri dan kanannya berselang dan berseli, masuk dan keluar dengan menggaya kelopak dan buah. Sesekali ayunan langkahnya ‘bermalam’ dan sesekali pula ‘berdagang’. Langkah silatnya tidak membawa bayang-bayang binatang. Langkah silatnya terbayang makna tawhid bila isi langkah betinanya bersulam Lam Jalalah.

 Munawir terpesona.

“Apa yang kamu saksikan tadi itu adalah Ibu Layangan daripada permainan Layangan Tok Wali.”. Ringkas saja kata-kata Ustaz Sarman sejurus menamatkan langkahannya. Terkejut Munawir mendengar kata-kata Ustaz Sarman seolah-olah beliau dapat membaca persoalan yang ada dibenaknya.

“Tadi.. sewaktu ustaz memandang kain batik.. kenapa seperti sebak?” Soal Munawir.

“Oh yang itu.. melihat kain itu membuatkan saya merindui guru silat saya.”

“Siapa namanya” Munawir menyulam bicara.

“Ibrahim Syah.” Balas Ustaz Sarman ringkas.

Tanpa berlengah-lengah, Ustaz Sarman mencapai jamong untuk menyuluh jalan dan mempercepatkan langkahnya menuju ke rumah Syeikh Saidi Soleh. Beliau tidak mahu kelewatan kerana malam ini adalah malam untuk memutuskan riwayat Maulana Mufrad. Baginya, memerangi Maulana Mufrad adalah jihad fi sabilillah menentang dajjal.

********

Seramai seratus murid-murid setia Syeikh Saidi Soleh sudah berkumpul untuk menyertai jihad fi sabilillah memerangi Maulana Mufrad pada malam ini. Ustaz Sarman yang berdiri disamping Syeikh Saidi Soleh kelihatan begitu bersemangat. Seketika kemudian Hj. Lokman mara beberapa langkah kehadapan menghadap Syeikh Saidi Soleh dan membisik..

“Syeikh.. segala perancangan seperti yang diatur Syeikh telah saya siapkan.. Orang Asli Kampung Temuan mahu bekerjasama dan telah mendahului kita ke sarang Maulana Mufrad dan masing-masing kita sudah lengkap berparang dan busur.” Ujar Hj. Lokman dihadapan Syeikh Saidi Soleh.

“Ayuh!” Ringkas sahaja kata-kata Syeikh Saidi Soleh dan terus sahaja Hj. Lokman melaungkan Takbir.. maka bergemalah kawasan rumah Syeikh Saidi Soleh dengan laungan Takbir.

********

Dalam pertengahan jalan, tiba-tiba ekor mata Munawir menangkap kelibat seseorang yang beliau kenal turut serta didalam rombongan jihad fi sabilillah itu. Ditajamkan lagi renungannya kearah orang itu dan kali ini beliau yakin yang dilihatnya ialah Umar Hidayat.

“Ah.. rupa-rupanya ada ‘mata-mata’.. sial kau Mufrad!!” bisik hati Munawir.

Tanpa berlengah Munawir mengikuti langkah Umar Hidayat. Tahu-tahu Munawir telah terpisah dari rombongannya. Namun Munawir tidak peduli asal saja Umar Hidayat dapat ‘dipulihkannya’.

“Akanku tawar sihir yang dikenakan keatasmu sahabatku dan akanku bunuh jin Ufrayad itu.” Azam Munawir didalam hati.

Lama Munawir mengekori, Umar Hidayat sekonyong-konyong memberhentikan langkahnya. Munawir pun tidak tahu dihutan manakah beliau berada sekarang kerana terlampau asyik meneliti gerak-geri Umar Hidayat sehingga beliau sendiri terlupa memerhatikan jejak-jejak hutan yang gelap itu. Tiba-tiba Umar Hidayat menoleh ke belakang dan pandangannya betul-betul ditumpahkan kearah belukar renek tempat dimana Munawir sedang meniarap bersembunyi. Nampaknya Umar Hidayat sudah tahu dirinya diekori.

Tanpa berlengah Munawir keluar dari persembunyiannya dan perlahan-lahan cuba merapati Umar Hidayat. Dengan perlahan-lahan juga Umar Hidayat mencabut ulu goloknya lantas terpacul keluar bilah goloknya yang berkilat disimbah cahaya bulan purnama. Matanya tajam merenung Munawir yang sudah siap sedia menanti serangan daripada Umar Hidayat. Sejurus.. Munawir hanya sempat mendengar bunyi libasan golok Umar Hidayat yang dibaling kearahnya. Munawir tidak sempat mengelak balingan golok yang laju menderu itu dan……. Allahu Akbarrrr!!!

Seketika kemudian suasana kembali hening setelah gema pekikkan laungan takbir daripada Munawir ditelan kegelapan malam.

********

“Mana Maulana Mufrad?!” Bentak Ustaz Sarman memecah hening malam diperkarangan teratak Maulana Mufrad. Dibelakang Ustaz Sarman, rombongan fi sabilillah bergegas bersegera mengepung setiap inci teratak tersebut. Masing-masing tersedia menghunus senjata masing-masing.

Kelihatan orang yang dibentak Ustaz Sarman tidak mempamerkan rasa takut terhadapnya malah hanya melontarkan kembali kuntuman senyum dibucu bibir. Paanggg!!! Satu tamparan deras hinggap dipipi orang itu dan orang itu rebah tersembam.

Tiba-tiba satu tendangan deras menerjah hampir mengenai rusuk Ustaz Sarman kalau tangannya tidak cepat-cepat ‘membuangnya’. Kemudian menyusul satu tumbukan kearah ulu hatinya.. pun dapat ‘dipatahkannya’ dengan  ‘dijulang’ lengan tersebut sambil tangan kanannya menyentuh tengkuk seteru tersebut.. sedetik kemudian tubuh seteru tersebut dilayang Ustaz Sarman hingga berpusing-pusing tubuhnya terduduk diatas tanah lantas tanpa berlengah ditendang rusuknya sehingga menggelupur seteru itu kesakitan. Orang yang tersembam ‘ditangan’ Ustaz Sarman tadi segera bangun tatkala melihat rakannya juga rebah walaupun berat tamparan masih terasa. Dicubanya untuk memukul Ustaz Sarman dari arah belakang namun ekor mata Ustaz Sarman sempat menangkap pergerakkan orang itu dan segera beliau menukar kedudukan tapaknya lalu merendahkan kuda-kudanya, menepis pukulan orang itu dan menyudahkan pertarungan itu dengan penumbuk langkah jantan yang menyinggahi ulu hati orang itu. Orang itu terus muntah darah.

Tiga empat orang pun meluru keluar dari teratak Maulana Mufrad namun mereka tidak berani berdepan dengan Ustaz Sarman yang perkasa itu. Sempat juga Ustaz Sarman memberi isyarat tangan kepada rombongan fi sabilillah agar jangan mara sebab beliau yakin dapat menumpaskan keempat-empat seteru dihadapannya dengan mudah.

Jelas kuntuman senyum terukir dihujung bibir Hj. Lokman tatkala menyaksikan keperwiraan Ustaz Sarman, manakan tidak, sebelum ini kehebatan beliau hanya nampak didalam gelanggang.. itupun kerana beliau adalah guru silat yang diamanahkan Syeikh Saidi Soleh untuk mengajar semua murid-muridnya dengan ilmu persilatan yang dimiliki Ustaz Sarman. Kali ini semua murid-murid Syeikh Saidi Soleh dapat menyaksikan kehandalan guru silat mereka dengan mata kepala mereka sendiri.

“Mana Maulana Mufrad?!” Sekali lagi Ustaz Sarman membentak. Lagaknya seperti harimau yang sedang kelaparan. Keempat-empat orang itu berpandangan diantara satu sama lain.  Mati akal.

“Sebentar Tuan Pendekar.. saya baru selesai bermunajat dengan Tuhan saya.. sekarang juga saya keluar.” Terdengar satu suara dari dalam teratak dengan nada yang tenang dan bunyi keriat-keriut papan lantai dipijak yang semakin jelas kedengaran menandakan empunya suara sedang menuju pintu. Rombongan fi sabilillah mula bergerak mara merapat. Bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Tanpa berlengah Ustaz Sarman mencabut golok yang tersisip rapi dipinggangnya. Berkilau bilah golok itu disimbah sinar bulan purnama. Cerita yang disampaikan Syeikh Saidi Soleh tentang kehebatan dan kesaktian Maulana Mufrad tidak boleh diambil mudah justeru Ustaz Sarman mengambil langkah berjaga-jaga dan membuat keputusan untuk menyerang terlebih dahulu kerana tidak mahu nasibnya menjadi seperti Umar Hidayat.

Tatkala kelibat Maulana Mufrad yang dalam samar-samar itu mula ditangkap kemunculannya oleh penglihatan Ustaz Sarman maka dalam detik itu, tanpa berlengah beliau terus menghambur ke muka pintu sambil tangan kanannya bersedia untuk menetak. Satu tetakkan berat dilepaskan dan….. aneh, suatu keanehan telah berlaku. Tetakkan Ustaz Sarman langsung tidak cuba dielak Maulana Mufrad dan yang lebih aneh, tetakkannya dihentikan sebelum mengenai kepala Maulana Mufrad dan yang lebih memeranjatkan.. ustaz Sarman seperti orang kena pukau, terbeliak biji matanya tatkala pandangannya menjamah wajah Maulana Mufrad. Beliau seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Mati langkahnya. Tiba-tiba golok yang kemas digenggamnya terlepas begitu saja.. tangannya terketar-ketar, kuda-kudanya goyah dan akhirnya beliau rebah tidak sedarkan diri terjelepuk dikaki Maulana Mufrad.

Melihat kejadian itu, bertempiaranlah sebahagian daripada rombongan jihad fi sabilillah itu susup-sasap ke dalam belukar. Yang tidak lari.. berdiri kaku terkencing dalam seluar. Gerun mereka semua melihat kesaktian Maulana Mufrad. Selama ini mereka hanya mendengar cerita dari mulut ke mulut sahaja dan kali ini mereka menyaksikan sendiri. Ustaz Sarman yang perkasa itu pun dapat ditumbangkan oleh Maulana Mufrad tanpa menyentuhnya sedikit pun.

Dengan langkah yang tersusun dan tenang, Maulana Mufrad mara  kearah Syeikh Saidi Soleh. Rombongan fi sabilillah yang masih bersisa perlahan-lahan berundur terketar-ketar tatkala pandangan Maulana Mufrad menyinggahi wajah mereka. Memandang wajah Maulana Mufrad pun mereka gerun, takut-takut apa yang menimpa Ustaz Sarman terjadi keatas mereka. Hanya Hj. Lokman yang masih berdiri disisi Syeikh Saidi Soleh. Dalam suasana yang cemas itu kelihatan perlahan-lahan Maulana Mufrad menghulurkan tangan kanannya kearah Syeikh Saidi Soleh.. serentak, masing-masing mata tertumpu kepada Syeikh Saidi Soleh.. menanti apakah yang bakal menimpa keatas mursyid itu. Tiba-tiba….!

********

Golok kepunyaan Umar Hidayat terpacak ditanah betul-betul diantara bukaan kuda-kuda Munawir. Nampaknya balingan tadi sengaja diarah kesitu oleh Umar Hidayat. Perlahan-lahan Umar Hidayat merapati Munawir yang terkejut kaku, lantas membongkok mengambil goloknya dan terus memasukkan kembali ke dalam sarungnya. Terpinga-pinga Munawir melihat kelakuan Umar Hidayat yang bersahaja itu. Kini, Umar Hidayat sudah berdiri betul-betul dihadapannya sambil melemparkan sebuah senyuman.

Segera Munawir menarik ‘ibu nafas’ dan dibacanya ayatul Qursiy senafas lalu dihembuskan kemuka Umar Hidayat dengan harapan agar jin Ufrayad yang menguasai tubuh Umar Hidayat akan terbakar. Lantas Umar Hidayat ketawa terbahak-bahak apabila mukanya disentuh hembusan kencang nafas Munawir. Melihat itu, Munawir berundur tiga langkah kebelakang sambil diperhatikan Umar Hidayat dengan senyuman yang masih menguntum.

“Hebat sungguh jin Ufrayad ini.” Getus hati Munawir. Kali ini Munawir nekad akan bertarung dengan jin Ufrayad walaupun nyawanya menjadi taruhan.

“Hei jin Ufrayad.. keluar kau dari tubuh sahabatku ini!” Bentak Munawir.

Kemudian sambil tersenyum Umar Hidayat pun bersuara, “Munawir.. ini aku Munawir.. sahabatmu. Jin Ufrayad? Apa yang kau merepek Munawir??”

Terkejut Munawir mendengar kata-kata Umar Hidayat. Munawir mulai keliru.

“Ooo.. jika kau tidak dalam pengaruh jin Ufrayad maknanya kau sendiri yang memilih untuk mengikuti Maulana Mufrad si dajjal itu!!? Pekik Munawir.

“Sebenarnya kau lah pengikut dajjal Munawir!” Balas Umar Hidayat.

Panas hati Munawir mendengar kata-kata yang dilontar Umar Hidayat. Terus saja beliau menyerbu dan cuba memukul Umar Hidayat tetapi semua serangannya dengan mudah dapat dielak oleh Umar Hidayat. Munawir sedar dirinya tidak sehebat Umar Hidayat dalam arena persilatan namun demi mempertahankan maruah Syeikh Saidi Soleh, beliau perlu berkeras.

Munawir kembali mengatur langkah. Dihunusnya parang yang sedari tadi tersisip dipinggang. Dibukanya amalan Sepohon Jadi. Lantas  tangannya pantas mengikut gerak silat yang datang. Langkah dan kuda-kudanya menjadi kemas laksana langkahan seorang hulubalang. Tanpa berlengah, Umar Hidayat juga membuka amalan Sepohon Jadi. Dipakainya langkahan Ibu Layangan dalam kedudukan ‘kalimah perang’.

“Hah!!” Munawir mendahului serangan dengan langkah jantan sambil menebas parangnya ke leher Umar Hidayat. Serangan itu dapat dibaca Umar Hidayat.. terus beliau melangkah masuk ke samping kiri Munawir dan dengan cepat menghenyak sendi peha beliau yang terdedah. Munawir jatuh terlentang namun malang, kepalanya terlanggar akar pokok dan terus pitam.

********

Rombongan fi sabilillah yang hanya tinggal seramai 30 orang itu terus melaungkan takbir beberapa kali. Pekikkan takbir yang bergema itu kedengaran begitu bersemangat dilaungkan, manakan tidak, mata-mata mereka menjadi saksi kekeramatan Syeikh Saidi Soleh sebentar tadi.

Sungguh takjub. Tatkala Maulana Mufrad menghulurkan tangan kanannya kearah Syeikh Saidi Soleh, ketika itulah Syeikh Saidi Soleh dengan segera mengangkat tangan kanannya tinggi-tinggi dan dua tiga detik kemudian tubuh Mualana Mufrad terus saja rebah dan tidak dapat bergerak sedikit pun.

Masing-masing dari rombongan fi sabillah itu pun seperti mendapat semangat baru. Digenggam kembali parang-parang tajam mereka dengan erat dan diangkat jamong masing-masing dengan tinggi sambil memarakan diri mereka merapati Syeikh Saidi Soleh. Mereka kembali yakin bahawa pihak mereka akan dapat menewaskan Maulana Mufrad dengan berkat kekeramatan Syeikh Saidi Soleh. Terus salah seorang dari mereka berteriak…

“Bunuh si Mufrad dajjal.. bunuh si Mufrad dajjal!!!” maka disahut oleh sekelian rombongan itu dengan pekikkan, “Bunuh.. Bunuh.. Bunuh!!”

Kelihatan Syeikh Saidi Soleh mengukir senyuman sinis diwajahnya.

********

Tertunduk sahaja Munawir apabila beliau selesai mendengar hujah demi hujah yang keluar dari mulut Umar Hidayat tentang ‘Rahsia Agama’. Sisa sakit dibahagian belakang kepalanya yang masih berdenyut kerana terhantuk akar pokok kayu sebentar tadi tidak dipedulikannya. Beliau begitu tekun mendengar penerangan yang disampaikan Umar Hidayat didalam rebas hujan yang mulai turun mendingini suasana malam.

“Bukankah kau tidak lagi menunaikan solat dan mulai berjudi setelah berguru dengan Syeikh Saidi Soleh?” Soal Umar Hidayat agak keras.

“Itu memang benar.. tapi bukankah sekelian dosa telah terhapus tatkala kita mengetahui semuanya itu af’al Allah?” Bantah Munawir mempertahankan aqidah yang dipelajarinya daripada Syeikh Saidi Soleh.

“Ada Allah memaklumkan begitu didalam Al Quran dan ada Rasulullah berkata begitu dalam sabdanya?” Sanggah Umar Hidayat dan sanggahan itu membuatkan mulut Munawir seolah-olah terkunci.

“Tetapi apa perlu aku solat sedangkan pada hakikatnya akulah Allah!” Bentak Munawir sambil menggertap gigi dan bingkas bangun dari silanya. Nafasnya kencang naik turun.

“Nah.. jika benar kau Allah Munawir, maka katakan saja ‘KUN’ dan wujudkan sebuah matahari sekarang ini.” Sekali lagi Umar Hidayat menyanggah kata-kata Munawir dengan mengajukan persoalan yang gagal dijawab Munawir.

Tiba-tiba terus sahaja Umar Hidayat membaca dua potong ayat Al Quran dari surah Al-Hijr ayat 39 dan 40 dengan agak lantang. Sejurus habis dibacanya lantas dibacakan pula maksudnya.

“Munawir.. perhatikanlah pengakuan Iblis laknatullah ini.” Kemudian beliau terus menterjemahkan ayat tadi.. “Ya Tuhan! Oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik perbuatan maksiat dimuka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semua kecuali hamba-hamba Engkau yang Mukhlis diantara mereka.”

“Bukankah Syeikh Saidi Soleh telah mengajar semua murid-murid beliau bahawa berjudi, berzina, minum arak, meninggalkan solat dan melakukan apa sahaja maksiat sebagai tidak berdosa selagi berada didalam amalan musyahadah.. nah! bukankah ini namanya ‘memandang baik perbuatan maksiat’?” Hujah Umar Hidayat.

Munawir kembali duduk dihadapan Umar Hidayat yang sedang bersila. Matanya tepat memandang wajah Umar Hidayat yang redup itu. Kemudian beliau menundukkan kepalanya dan cuba menghadam hujah-hujah yang dilemparkan Umar Hidayat kepadanya sedari tadi. Ada riak insaf diwajahnya.

“Sebenarnya ajaran ketuhanan Syeikh Saidi Soleh sedikit demi sedikit telah memansuhkan ilmu-ilmu dan amalan-amalan syariat.” Sambung Umar Hidayat lagi.

“Lantas bagaimana pula dengan ajaran Maulana Mufrad?” Tanya Munawir dengan nada yang mulai menurun dan ingin tahu.

“Sebenarnya Maulana Mufrad tidak pernah wujud.. nama dan watak Maulana Mufrad sengaja direka Syeikh Saidi Soleh untuk menjaga kepentingan ajaran beliau yang sesat itu. Memang benar orang yang hendak kalian bunuh itu pernah menjadi murid Syeikh Saidi Soleh namun mujur beliau mendapat petunjuk dari Allah dan berusaha untuk menyedarkan Syeikh Saidi Soleh dari penyelewengan yang dibawa beliau namun beliau begitu degil. Oleh kerana merasa tergugat lantas Syeikh Saidi Soleh  dengan licik mereka-reka cerita tentang kesaktian dan kehebatan sihir keatas watak Maulana Mufrad sehingga semua anak murid beliau percaya.” Terang Umar Hidayat panjang lebar.

Munawir mengangguk-angguk faham dan meyakini kata-kata Umar Hidayat sementelah beliau mengenali Umar Hidayat sejak kecil yang tidak pernah berkata bohong.

“Jadi, kami hendak membunuh orang yang salah…” Munawir bersuara dengan nada kesal. “Siapa sebenarnya Maulana Mufrad?” Soal Munawir teruja.

“Beliau ialah……”

********

Dengan agak susah payah dicuba juga agar tangannya dapat bergerak untuk mencabut damak yang tertanam dibelakang tengkuknya. Terasa bisa racun dari damak itu menyentap-nyentap jantungnya. Tekaknya terasa kering, hujung-hujung jari tangannya sejuk dan bibirnya sudah pucat. Kepada Allah-lah beliau bertawakal.

Walau terkial-kial, Ibrahim Syah dapat juga mencapai damak itu namun tidak berupaya untuk mencabutnya. Dalam kepayahan itu beliau masih dapat mendengar teriakkan orang-orang dari rombongan jihad fi sabilillah bergema mahu membunuhnya. Beliau mengerti disaat itu tiadalah beliau berupaya untuk menegakkan kebenaran dengan kudrat beliau namun dirasakan lisannya masih mampu untuk berbuat begitu. Kali ini dicubanya untuk bangun dengan baki-baki sisa kudrat yang masih ada. Hatinya masih kuat mahu mendakwahi Syeikh Saidi Soleh.

Dalam kepayahan itu dapat juga beliau terbongkok-bongkok bangun dan dalam sekilas pandangan yang berpinar-pinar sempat juga beliau menoleh kearah Syeikh Saidi Soleh yang berdiri megah ditengah-tengah deretan rombongan jihad fi sabilillah yang masing-masing memegang erat parang-parang tajam dan mengacu-ngacu jamong kearahnya. Namun belum pun sampai berdiri, dirasakan kepalanya berat dan pandangannya gelap. Perlahan-lahan tubuhnya mulai rebah. Namun tatkala badannya mulai tersembam, tiba-tiba beliau merasakan ada seseorang merangkul tubuhnya dan menahan daripada terus tersembam.

********

Tanpa diduga, rebas malam yang baru menderu turun itu mengenai wajah Ustaz Sarman bertitik-titik dan membuatnya tersedar dari pengsan. Selepas menyapu-nyapu muka, matanya terus meliar mencari-cari kelibat guru silatnya itu. Akhirnya matanya dapat menangkap susuk tubuh Ibrahim Syah yang tertunduk-tunduk seperti mahu rebah. Seperti kumbang putus tali.. tubuh Ustaz Sarman melayang ringan kearah gurunya dan terus merangkul tubuhnya daripada tersembam ke tanah.

Dilihatnya ada sepasang damak yang tertanam ditengkok dan bahu kanan guru silatnya itu lantas beliau mencabutnya. Sekilas pandang, Ustaz Sarman tahu damak-damak itu kepunyaan Orang Asli dari kampung Temuan. Jelas, gurunya itu telah terkena sumpitan beracun secara ‘curi-curi’.

Genangan airmata yang bertakung dipelupuk matanya terus mengalir membasahi pipi tatkala Ustaz Sarman mengucup wajah guru silatnya itu. Kelihatan Ibrahim Syah sudah nyawa-nyawa ikan. Tentu sahaja Ustaz Sarman tidak akan percaya bahawa guru silatnya itu seorang pengamal sihir yang menguasai alam kegelapan sepertimana yang pernah diberitahu Syeikh Saidi Soleh suatu ketika dulu sedangkan guru silatnya itu adalah seorang guru Tasawuf yang warak yang pernah singgah berdagang dikampungnya dahulu. Tanpa berlengah Ustaz Sarman bangun dan terus meluru merapati Syeikh Saidi Soleh.

“Syeikh.. mungkin ada terjadi salah faham..” Terketar-ketar suara Ustaz Sarman mahu menerangkan perihal guru silatnya itu namun tiba-tiba.. Paannggg!! Satu tendangan singgah keras ke pipi beliau. Ustaz Sarman terlentang.

“Nampaknya Ustaz Sarman juga telah terkena sihir Maulana Mufrad dan tidak mungkin dapat dipulihkan kembali.. Aku melihat dibelakangnya ada jin Ufrayad dan bala tenteranya! Bunuh saja si Sarman ini dan Maulana Mufrad agar bala tentera Ufrayad tidak akan mengacau keluarga kamu!!” Laung Syeikh Saidi Soleh kearah rombongan jihad fi sabilillah sejurus Ustaz Sarman ditendangnya.

Ustaz Sarman bagaikan tidak percaya kata-kata itu keluar daripada mulut Syeikh Saidi Soleh yang selama ini dipercayai beliau sebagai seorang yang kasyaf namun baru malam ini beliau ‘nampak’ diri sebenar Syeikh Saidi Soleh. Baru beliau tahu dajjal yang sebenar adalah Syeikh Saidi Soleh. Namun segalanya sudah terlambat kerana rombongan jihad fi sabilillah telah pun bertindak menyerbu.

Dalam suasana yang cemas itu segera Ustaz Sarman berlari untuk memberi perlindungan kepada Ibrahim Syah yang terbaring tidak jauh darinya namun beliau dihadang tiga empat orang yang bersenjatakan parang. Dengan tangkas beliau mengelak dan menangkis serangan demi serangan yang bertujuan untuk membunuh itu. Dalam pada itu sempat juga ekor matanya mencuri pandanag kearah Ibrahim Syah namun apa yang dilihat beliau sungguh menyayat hati.

Dilihatnya Ibrahim Syah dikerumuni beberapa orang yang sedang memijak-mijak dan menendang-nendang tubuh lemahnya itu. Rombongan jihad fi sabilillah mengamuk seperti ‘kena rasuk’ sehingga darah pekat yang tersembur dari mulut Ibrahim Syah dan darah segar yang membuak-buak mengalir keluar dari dadanya tidak langsung dapat menarik rasa belas kasihan. Ibrahim Syah syahid disitu juga. Namun tubuhnya terus diinjak-injak. Enam Orang lelaki yang berserta Ibrahim Syah turut terkorban satu persatu.

Kini yang tinggal hanya Ustaz Sarman berjuang bermati-matian mempertahankan mayat Ibrahim Syah daripada terus diperhinakan oleh rombongan jihad fi sabilillah yang berjumlah puluhan orang itu. Tiba-tiba dua lembaga manusia datang meluru ketengah-tengah medan pertempuran dan dengan segera melarikan Ustaz Sarman yang sudah kepenatan dan berlumuran darah.

Ustaz Sarman dapat meloloskan diri namun dengan lenangan airmata.

********

Rombongan jihad fi sabilillah dapat juga mengesan tempat persembunyian mereka dan terus mengepung rumah Munawir. Terus sahaja anak-anak panah berapi dilepaskan dari busurnya lantas mengenai atap dan dinding yang diperbuat daripada kayu itu. Api terus marak.

“Apakah kau tidak takut mati sahabatku? Lainlah aku.. aku memang sudah cedera menunggu ajal”

“Oh, itu jangan kau rungsingkan sahabatku.. memang aku mengidamkan syahid dan bersegera dapat bertemu dengan Allah.”

“Kalau begitu, aku pun menginginkan syahid. Mari kita teruskan perjuangan.”

Golok masing-masing segera dihunus dan perlahan-lahan mereka berdua menuju daun pintu yang sudah separuh terbakar lalu dibuka pintu itu. Sekonyong-konyong berdesas-desus panah-panah berapi hinggap tepat mengenai dada-dada mereka berdua.

********

Sesusuk tubuh manusia yang berpakaian silat hitam kelihatan bersembunyi disebalik pokok besar sedari tadi menyaksikan peristiwa itu. Terpalit disana sini darah-darah segar dipakaiannya yang bersampinkan kain batik merah. Beliau masih berdiri memerhatikan rumah yang dikepung rombongan jihad fi sabilillah itu hangus dijilat api. Airmatanya tidak henti-henti mengalir mengenangkan keperwiraan sahabat-sahabatnya itu. Namun beliau tidak dapat menyertai mereka kerana ada tugas yang perlu diselesaikannya.  Perlahan-lahan beliau merenung dalam-dalam secebis kain batik merah yang berada digenggamannya lalu melilitnya dikepala. Beliau berundur beberapa langkah dan terus berlari menuju Pantai Timur untuk menyempurnakan wasiat terakhir Tuan Guru Ibrahim Syah.

“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un.” Ucap beliau perlahan tanpa menoleh lagi ke belakang.

Sarip Dol

Beliau adalah pengasas Pusat Rawatan Islam Sepohon Jadi (PRAWIS). Berpengalaman luas dalam Perubatan Islam lebih dari 15 tahun. Beliau juga pernah menjadi tenaga pengajar bertauliah NGM dalam bidang Tasauf, Tauhid/ Usuluddin dan Tajwid.

More Posts

5 Responsesto “PEWARIS IBU LAYANGAN – Fitnah Dajjal”

  1. rumpai says:

    salam.. Alhamdulillah, di harap tuan Sarip Dol diberi kesihatan dan kelapangan untuk berkongsi karya sebagai pedoman serta teladan kami semua. Gerak pesilat tu persis pahlawan yang tak bisa mengalah.. ;) teruskan perjuangan..

  2. Kurakura says:

    Semoga amanat ibrahim syah akan terus bersambung, menjalar di segenap penjuru alam, hidup dalam diri insan sepanjang zaman..

  3. pendita says:

    ala ada plak sambungannya lagi…rasa macam pendek sangat..xpuas…

  4. sakinah says:

    tahniah, satu lagi karya asli terhasil. bilakah sambungannye? tahun depan? hehe

  5. Si Siddhatha says:

    alhamdu lillah… ada juga karya terbaru dari tuan tanah…. moga diperbanyakkan lagi….

Leave a Reply

*